Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin Ziarah Saudara Bob Lokman

3839
SHARE

Skuad Prihatin Ziarah Saudara Bob Lokman

30 Mac 2018, Selangor: Selebriti yang tidak asing lagi di negara kita iaitu Saudara Lukmanul Hakim atau lebih dikenali dengan panggilan Bob Lokman antara insan yang dipilih oleh Allah untuk menempuh ujian-Nya dengan ujian kesakitan. Semenjak beberapa tahun yang lalu, kita mendapat perkhabaran tentang kesihatan Saudara Bob Lokman yang tidak stabil akibat masalah jantung dan paru-paru.

Baru-baru ini, sekali lagi kita dikejutkan dengan keadaan kesihatan beliau yang semakin merosot setelah sekian lama beliau kelihatan sihat dan sangat aktif dengan kerja-kerja dakwah. Sekitar sebulan yang lepas, saudara Bob Lokman dimasukkan ke hospital UITM Sungai Buloh apabila keadaan jantungnya semakin lemah dan paru-parunya mengalami masalah. Beliau ditahan di wad dan telah menjalani rawatan selama lebih kurang 3 minggu di hospital tersebut. Kos rawatannya menjadi semakin tinggi dan bertambah.

Justeru itu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) telah mengambil inisiatif dengan melancarkan rayuan sumbangan melalui poster bagi membantu saudara Bob Lokman membiayai kos rawatannya. Alhamdulillah, sokongan dan kerjasama daripada para dermawan sangat menggalakkan semenjak sebulan yang lalu.

Semalam, 29 Mac 2018 Skuad Prihatin LKK DMPM telah meluangkan masa menziarahi saudara Bob Lokman di kediamannya di Saujana Akasia Sungai Buloh, Selangor. Turut hadir dalam ziarah semalam ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Hjh Nuridah Mohd Salleh bersama Penolong Setiasusaha 1 (PSU1) DMPM, Puan Norhafiza Fadzil.

Kehadiran Skuad Prihatin LKK DMPM serta Ketua Muslimat dan PSU 1 DMPM disambut dengan ceria sekali walaupun dalam keadaan beliau bernafas menggunakan corong oksigen. Beliau juga rancak berkongsi cerita dan berbincang pelbagai perkara dengan rombongan yang hadir. Jelas terpancar dari riak wajahnya bahawa beliau redha dengan ujian ini sebagai hadiah dari Allah untuknya. Semoga Allah permudahkan segala urusan saudara Bob Lokman.

Di akhir ziarah, Ustazah Hjh Nuridah telah menyampaikan sumbangan yang terkumpul hasil sumbangan dari para penyumbang yang dermawan kepada saudara Bob Lokman. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan di akhirat kepada para penyumbang.

Marilah kita sama-sama berdoa agar saudara Bob Lokman diberi kesembuhan dan kekuatan serta dipermudahkan segala urusannya. Allahumma aameen.