Selangor, 27 November 2017 – Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang meninjau orang sakit atau berziarah kepada saudaranya kerana Allah, maka berserulah seorang yang mengundang-undang: “Engkau melakukan kebaikan dan baik pulalah perjalananmu, serta engkau dapat menduduki tempat dalam syurga,” Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi.
Semalam Pasukan Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyakaratan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) menziarahi mantan Ketua Muslimat PAS Kawasan Seputeh, Pn. Hajjah Rabeah Husin yang baru sahaja menjalani pembedahan. Puan Hajjah Rabeah juga merupakan antara Muslimat yang aktif bergerak dalam kerja-kerja jemaah PAS.
Rombongan Ziarah Kasih Skuad Prihatin LKK DMPM semalam disambut mesra oleh beliau di kediamannya di Taman Sri Indah, Balakong Selangor. Alhamdulillah keadaannya nampak semakin pulih, dan in shaa Allah akan kembali bersemangat untuk meneruskan gerak kerja jemaah.
Turut hadir dalam Ziarah Kasih semalam ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd. Salleh, Timbalan Pengerusi LKK DMPM merangkap Ketua LKK DMP Wilayah Persekutuan, Puan Zurina, Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP), Puan Hajjah Sharifah Rashida Syed Idrus, Bendahari DMPWP, Puan Asiah Mohd Baki dan Pengerusi Lajnah Ekonomi DMPWP, Puan Normilan Mamat.
Dalam ziarah tersebut, Ustazah Nuridah juga menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai kepada Puan Hajjah Rabeah.
Semoga Puan Hajjah Rabeah terus dikurniakan kesihatan dan sentiasa dalam limpah rahmat Allah SWT.