Home Berita PAS Pahang

SIRI 8 | Beginilah Pengalaman Hidup Mengajarku

623
SHARE

(وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ)

“..dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” [Surat Al-Ma’idah : 8]

Ada seorang kawan pernah berkongsi tentang bosnya yang sangat profesional dan objektif dalam organisasinya. Kawan ini pernah dipanggil mengadap bos tersebut disebabkan satu aduan yang dibuat oleh staf yang lain tentang cakap-cakapnya yang dikatakan negatif terhadap bos tersebut. Bos itu bersemuka dengan kawan ini dan membangkitkan segala aduan yang diterima sambil memberi jawapan dan teguran kepadanya. Keadaan agak tegang. Di hujung pertemuan, setelah selesai semua pertikaian, bos tersebut mengambil sehelai kertas putih dan berkata kepadanya bahawa selepas ini antara dia dan kawan tersebut adalah seperti kertas putih itu. Bermaksud, selesailah segala yang berbangkit dari aduan itu antara mereka berdua.

Kawan ini yang keluar dari bilik bos tersebut merasa sangat tidak tenteram dan bimbang. Padanya, isu ini sudah pasti akan memberi persepsi negatif bos itu terhadap dirinya dan mungkin boleh mempengaruhi penilaian prestasinya dan masa depan karier, pangkat jawatan serta pelbagai lagi yang meracau benak pemikirannya.. Pastilah hubungannya dengan bos tersebut akan renggang dan tidak semesra sebelumnya..

Sangat mengejutkan, ketika waktu rehat, bos tersebut keluar dari biliknya dan bertanya kawan tadi adakah dia sudah makan atau belum serta mengajaknya untuk makan bersama. Kawan itu bersetuju dan keluar makan bersama bosnya tadi dan merasa sangat kagum kerana bos tersebut bersembang santai dan melayaninya dengan mesra seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara mereka sebelumnya. Bermula saat itu, kawan ini semakin hormat dan respect kepada bos tersebut.

Ini satu contoh bersikap objektif. Bukan berpura-pura atau bermuka-muka, tetapi tahu dan matang dalam menangani isu tanpa mencampur aduk dengan sentimen yamg tidak ketahuan.

Orang kita belum terbiasa bersikap profesional dan objektif. Belum membudaya. Lihat bagaimana Nabi s.a.w. dalam menangani isu Kaab Bin Malik r.a. ketika dijatuhkan hukuman pemulauan disebabkan kesalahannya tidak melakukan perintah keluar berperang dalam peperangan Tabuk. Pemulauan dilaksanakan dengan tegas. Namun apabila tamat tempoh hukuman, hubungan kembali seperti biasa. Para sahabat yang turut memulau Kaab sebelumnya, kembali memeluk erat setelah selesai hukuman dijalankan.

Tiada pula cerita tentang sentimen emosi ketidakpuasan atau kemelaratan hubungan dingin berkait Kaab selepas itu. Mereka, generasi awal itu sangat bersikap objektif. Tidak bercampur baur sentimen dan emosi tidak ketahuan. Siapa yang langsung tidak pernah berbuat salah? Kesalahan itu perlu ditangani secara profesional dan objektif. Tidak perlu keterlaluan berteori konspirasi atau menyuluh tilik jauh ke dalam lubuk hati orang.

Al Fadhil Ustaz Hazmi bin Dibok

Ketua Pemuda PAS Pahang

15 Oktober 2017