Home Berita PAS Selangor

Sidang Dewan Selangor : Hak Milik Strata

676
SHARE

KENYATAAN AKHBAR 

PERTANYAAN-PERTANYAAN MULUT DARIPADA Y.B. TUAN NG SZE HAN (N30 KINRARA) BAGI SOALAN NO. 21 PADA 7 NOVEMBER 2017. 

HAK MILIK STRATA

a) Untuk makluman YB Kinrara, jumlah skim pembangunan yang telah memperolehi hakmilik strata adalah sebanyak 8,851 skim yang melibatkan sejumlah 525,025 hakmilik secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, siasatan oleh pihak PTGS mendapati bahawa terdapat 276 skim pembangunan yang layak mengemukakan permohonan, tetapi pihak pemaju atau pemilik tanah masih belum mengemukakan permohonan bagi memperoleh hakmilik strata. Di samping itu juga, PTGS sedang menyemak status 849 skim pembangunan lagi bagi menentukan sama ada layak untuk membuat permohonan hakmilik strata.

Statistik skim pembangunan yang belum mempunyai hakmilik strata mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah seperti berikut:

BIL PIHAK BERKUASA TEMPATAN JUMLAH SKIM BELUM MEMOHON STRATA MASIH DALAM SIASATAN
1 Majlis Bandaraya Shah Alam 227 10 20
2 Majlis Bandaraya Petaling Jaya 212 17 169
3 Majlis Perbandaran Subang Jaya 284 28 134
4 Majlis Perbandaran Ampang Jaya 269 60 38
5 Majlis Perbandaran Kajang 306 38 100
6 Majlis Perbandaran Klang 258 24 72
7 Majlis Perbandaran Selayang 310 10 222
8 Majlis Perbandaran Sepang 299 59 45
9 Majlis Daerah Hulu Selangor 86 26 11
10 Majlis Daerah Sabak Bernam 2 0 2
11 Majlis Daerah Kuala Langat 35 4 29
12 Majlis Daerah Kuala Selangor 19 0 7
JUMLAH BESAR 2,307 276 849

b) Di antara faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan proses pengeluaran hakmilik strata adalah:

i) Urusan tanah yang belum diselesaikan, sebagai contoh, tanah belum disatukan atau dipecah sempadan, premium yang masih belum diselesaikan, dan tanah yang masih berstatus hakmilik sementara.

ii) Bangunan yang tiada CF (Sijil Kelayakan Menduduki) atau CCC (Perakuan Siap dan Pematuhan), dan bangunan yang dibina terlebih dari sempadan lot.

iii) Pemilik atau pemaju yang telah mempunyai masalah kewangan, atau telah digulung dan masih di dalam tindakan insolvensi.

c)  Di dalam usaha untuk menjaga kebajikan rakyat dan meneraju inisiatif “Peduli Rakyat”, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah pun mengambil beberapa tindakan proaktif dengan mengadakan aktiviti “turun padang” dari semasa ke semasa secara giatnya.

Inisiatif ini dapat membantu meningkatkan kesedaran pihak pemilik hartanah, pemaju dan juga pihak-pihak berkepentingan lain tentang kepentingan dokumen hakmilik strata serta kepentingan pengurusan strata yang efektif.

Aktiviti seperti mesyuarat dan perjumpaan bersama pihak Pesuruhjaya Bangunanan (COB) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) telah diadakan dan sejumlah 209 skim telah terlibat di dalam aktiviti ini, di mana secara tidak langsung telah membantu dalam peningkatan permohonan hakmilik strata.   

Y.B. Dato’ Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor
7 November 2017