Home Kenyataan Media PAS Negeri Sembilan

Ucapan Sembah Tahniah Bersempena Ulang Tahun Keputeraan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-70

1173
SHARE

SIARAN TERTUNDA : UCAPAN SEMBAH TAHNIAH BERSEMPENA ULANG TAHUN KEPUTERAAN YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN KE-70

1. Patik mewakili seluruh ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Negeri Sembilan merafakkan sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bersempena Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Yang Ke-70.

2. PAS yang bertapak di Negeri Sembilan Darul Khusus sejak awal 1955 dan disempurnakan pendaftaran pertubuhan pada 12 April 1967, tidak lekang daripada prinsip perjuangannya untuk membantu membina Negeri Sembilan yang sejahtera.

3. Menerusi konsep ‘Raja berperlembagaan’ dan ‘Demokrasi berparlimen’, PAS Negeri Sembilan bersedia menjadi wadah semak imbang dalam Dewan Undangan Negeri, di samping istiqamah dalam memperjuang dan mempertahankan hak negeri serta rakyat Negeri Sembilan yang berbilang kaum.

4. PAS Negeri Sembilan juga amat menjunjung tinggi pengamalan Adat Perpatih yang sekian lama diamalkan dalam urusan pentadbiran dan sosio-budaya masyarakat Negeri Sembilan.

5. Di kesempatan ini juga, mohon perkenan Tuanku untuk patik menyeru dan menasihati semua pemimpin dan rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira bangsa, agama mahupun parti politik agar turut sama memahami dan menjunjung teras Adat Perpatih dengan terma “Adat bersendikan Syariat, Syariat bersendikan Kitabullah”, selain memahami konsep sebenar Tanah Adat supaya dapat dimanfaatkan untuk kemaslahatan masyarakat dan pembangunan negeri.

6. Patik dan semua ahli PAS Negeri Sembilan mendoakan agar Tuanku sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dalam kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan bersemayam di takhta pemerintahan Negeri Sembilan.

Dirgahayu Tuanku.

Daripada:
USTAZ HAJI MUSTAFFA BIN DAHARUN,
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan

15 Januari 2018.


Kredit Foto : Hazreen Mohamad/Berita Harian