Home Ensiklopedia Harian PAS

Pondok Tok Ayah Kedah : Nadi Pembinaan Kubu PAS Kelantan

736 views
SHARE

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2018
PONDOK TOK AYAH KEDAH: NADI PEMBINAAN KUBU PAS KELANTAN

PERANAN institusi pendidikan agama, termasuk pondok terhadap kebangkitkan gerakan Islam di Alam Melayu adalah satu fenomena selepas kejatuhan khalifah pada 1924. Baik di Indonesia mahupun Malaysia, kemunculan pondok, madrasah dan pusat-pusat pengajian tinggi Islam telah menyemarakkan kesedaran Islam, sekali gus menimbulkan kebangkitan umat dalam rangka mengembalikan semula kemuliaan Islam. Salah sebuah institusi yang berperanan besar dalam soal ini ialah Pondok Tok Ayah Kedah yang terletak di Kg Pachor, Kemumin, Kelantan yang bukan merangsang kebangkitan Islam, tetapi juga menjadi nadi pembangun kubu PAS di Kelantan.

Pondok Tok Ayah Kedah mempunyai sejarah yang menarik kerana ia bermula sebagai sebuah surau untuk pengajian agama mingguan, tetapi akhirnya bertukar menjadi sebuah pondok pada awal 1920-an, apabila Tok Ayah Kedah menetap di Kg Panchor dari Kenali. Nama Tok Ayah Kedah sebagai murid kepada ulamak-ulamak termasuk Tok Kenali, telah membuatkan pondoknya dikunjungi oleh ramai penuntut. Malangnya, di awal Perang Dunia Kedua, Tok Ayah Kedah telah meninggal dunia dan pondoknya terbangkalai. Pada 1952, anak Tok Ayah Kedah, Ustaz Nik Abdullah Mohd Arshad atau Pak Nik Lah Panchor telah membangunkan semula institusi ini di tapak pondok tersebut, tetapi dengan nama baru, Madrasah at-Tarbiyah al-Mardhiyah. Sejak itu, ia berkembang menjadi institusi pendidikan agama yang penting di Kelantan. SMU (A) Tarbiah Mardhiah yang terletak di Kg Panchor sekarang bukan sahaja sebuah sekolah agama yang terkenal, tetapi juga telah melahirkan tokoh-tokoh besar negara.

Pengasas pondok ini, Tuan Guru Haji Abdullah bin Tahir (1875-1942) atau dikenali dengan nama rasminya, Mohd Arshad adalah seorang ulamak yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang, tetapi berhijrah ke Kedah kerana menuntut ilmu dengan Tok Sheikh Jarum, setelah berguru dengan Tuan Minal di Seberang Perai. Ulamak yang bersusur galur dari Pattani ini kemudiannya belajar dengan Tok Kelaba dan Tok Chaok di Pattani, sebelum mendapat sentuhan ilmu dengan Tok Kenali di Kelantan. Setelah. eberapa ketika menjadi pengajar di Pondok Kenali, beluau kemudiannya diarahkan oleh Tok Kenali supaya membuka pondok di Panchor, Kemumin. Kerana berasal dari utara semenanjung, beliau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah Kedah dan institusinya dipanggil Pondok Tok Ayah Kedah. Demi melanjutkan perjuangan ulamak Pattani sesudah kejatuhan negeri itu ke tangan Siam pada 1838, Tok Ayah Kedah tegar memainkan peranan dalam membangkitkan semangat perjuangan Islam di Kelantan.

Kebangkitan semula Pondok Tok Ayah Kedah dengan citra baru, Madrasah at-Tarbiyah al-Mardhiyah pada 1952 telah membolehkan ia melanjutkan perjuangan Tok Ayah Kedah dalam memacu perjuangan Islam. Ketika PAS mula berkembang di Kelantan pada akhir 1952, Pak Nik Lah Panchor, pewaris institusi Tok Ayah Kedah ini telah memilih untuk bersama perjuangan PAS, terutama selepas PAS Kota Bharu ditubuhkan pada 1954. Beliau sendiri, selain menjadi Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu mulai 1960, turut menjadi Penyelaras Pilihan Raya PAS Kota Bharu pada 1955, di samping merupakan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sejak 1962. Beliau kemudiannya menjadi ADUN Kota Bharu Pantai sejak 1959 hingga 1974, merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan (1967-1969) dan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa mulai 1975. Pada 1974, kawasan pilihan rayanya dikenali sebagai DUN Sering yang dipertahankannya sehingga 1982.

Pak Nik Lah yang pernah menjadi Speaker DUN Kelantan (1972-1974), adalah antara tokoh yang dicalonkan sebagai Menteri Besar Kelantan dalam merungkai krisis politik pada 1977. Dalam krisis ini, PAS telah kehilangan Kelantan, tetapi Pak Nik Lah adalah salah seorang daripada dua calon PAS yang menang dalam Pilihan Raya Umum Negeri Kelantan 1978. Beliau menjadi satu-satunya pemimpin PAS yang tidak pernah tewas dalam pilihan raya, walaupun pada saat kritikal. Pada 1986, beliau menjadi calon tunggal PAS memenangi kerusi parlimen menerusi kerusi Pengkalan Chepa. Kerusi ini dipertahankan oleh beliau sehingga 1995, sebelum digantikan oleh anaknya, Ustaz Datuk Nik Mohd Amar Abdullah selama dua penggal. Kerusi parlimen Pengkalan Chepa (dahulunya Kelantan Hilir) mencatat sejarah sebagai satu-satu kawasan yang tidak pernah dimenangi oleh Umno dalam pilihan raya umum sejak merdeka. Datuk Nik Mohd Amar sendiri kemudiannya menjadi ADUN Panchor sejak 2004, selain menjadi anggota Exco Kerajaan Negeri (2004-2013) dan kini sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Selain Pak Nik Lah dan Datuk Nik Mohd Amar, legasi Tok Ayah Kedah dalam mengukuhkan pengaruh PAS di Kelantan dapat dilihat dalam keluarga Haji Mohd Zain Mohd Arshad. Haji Mohd Zain (Ayah Wa) melahirkan beberapa tokoh seperti Usta Abdul Rahim Zain (bekas pensyarah Universiti Malaya) dan Mohd Ashari Mohd Zain (Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan). Seorang lagi cucu Tok Ayah Kedah, Ustaz Ahmad Fathan Mahmud adalah ADUN Cempaka sekarang, manakala Ustaz Dr Mohamad Md Daud, bekas ADUN Tendung yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulamak PAS adalah cucu menantu Tok Ayah Kedah. Beberapa tokoh lain juga muncul dalam kelurga Tok Ayah Kedah tetapi melalui jalur pendidikan seperti Ustaz Prof Madya Dr Mohd Muhidden Abdul Rahman, pensyarah Universiti Malaya, Nilam Puri dan Prof Dr Haji Abdul Samat @ Lokman Musa, pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Di sebalik penglibatan anak cucu Tok Ayah Kedah dalam perjuangan pendidikan dan politik Islam di Kelantan, kesan pengaruh Pondok Tok Ayah Kedah sebenarnya boleh dilihat pada kuatnya PAS Pengkalan Chepa dalam menjadi benteng dan kubu di Kelantan. Selain melahirkan tokoh-tokoh pemimpin PAS yang bertaraf nasional, PAS sendiri tidak pernah tewas dalam pilihan raya di kawasan tersebut sejak 1959, kecuali ketika krisis politik 1978 dan kegagalan PAS mempertahankan kerusi DUN Kemumin dalam pilihan raya kecil pada 1983 setelah tertubuhnya Hamim. PAS juga tidak pernah tewas untuk kerusi parlimen Hilir Kelantan (sekarang Pengkalan Chepa) sejak 1959 hingga sekarang, bahkan PAS pernah bercadang menamakan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, cicit Tok Sheikh Jarum yang juga keluarga terdekat Tok Ayah Kedah untuk bertanding di Pengkalan Chepa pada 1995.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Januari 2018