Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Setiap Undi Akan Dipersoal dan Dihitung Oleh Allah SWT

2372
SHARE

RISALAH UNTUK PENGUNDI

Bilangan: 16

SETIAP UNDI AKAN DIPERSOAL
DAN DIHITUNG OLEH ALLAH SWT

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Setiap tindakan yang dilakukan oleh manusia tidak akan terlepas daripada sebarang catatan sama ada amalan baik atau jahat. Kesemuanya akan diperhitungkan di hadapan Allah SWT dan manusia akan diperlihatkan sendiri hasil amalannya walau sebesar zarah. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam setiap tindakan termasuklah ketika mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Allah SWT berfirman:

{فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ}

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya.” [az-Zalzalah: 7-8]

2. Oleh yang demikian, persoalan mengundi bukanlah perkara yang boleh dianggap remeh dan kecil. Ini kerana pemilihan yang dilakukan akan memberikan implikasinya dalam tempoh 5 tahun mendatang sehinggalah PRU yang seterusnya. Memilih calon dan parti yang baik, akan mengundang kebaikan kepada agama, ummah dan negara. Begitulah sebaliknya jika memilih calon dan parti yang tidak baik.

3. Berada dalam perjuangan Islam serta memberi sokongan yang penuh kepada usaha memartabatkan Islam adalah suatu amalan yang diberikan ganjaran besar. PAS sebagai jemaah Islam tetap beristiqamah memperjuangkan tuntutan Islam sekalipun ditentang.

4. Berasaskan perkara tersebut, mengundi perjuangan PAS dengan ikhlas akan beroleh pahala dengan izin Allah SWT. Ini berdasarkan kaedah bahawa PAS telah memperjuangkan Islam dan sudah pasti Islam merupakan agama yang diwahyukan oleh Allah SWT untuk tujuan kebaikan dan kemaslahatan manusia serta alam semesta. Apa sahaja usaha berbuat kebaikan dan menjaga kemaslahatan akan diberi pahala berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:

«مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ»

“Sesiapa yang memberi tunjuk atas suatu kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang melaksanakan kebaikan tersebut.” [Riwayat Muslim]

5. Sehubungan itu, pengundi mestilah memikirkan kesan undiannya untuk masa akan datang dari sudut kebaikan atau kemudharatan yang bakal dipikul oleh rakyat.

6. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak seluruh pengundi agar memastikan biarlah undi yang diberikan itu dalam bimbingan dan petunjuk Allah SWT. Bimbangilah terhadap undi yang boleh membawa kemurkaan Allah SWT apabila menyerahkan amanah kepada mereka yang tidak selayaknya dalam memelihara agama Allah SWT di negara ini.

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

20 Syaaban 1439H / 6 Mei 2018 (Ahad)

 

Muat turun dokumen (versi PDF) bagi tujuan cetak & sebaran kepada pengundi PRU14 di pautan berikut:

risalah untuk pengundi – bil 16