Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Seruan Solat Hajat Seluruh Negara untuk Musibah Pasir Gudang

3635
SHARE

Solat Hajat Seluruh Negara untuk Musibah Pasir Gudang

1. Kami berasa dukacita dengan perkembangan semasa yang berlaku di Pasir Gudang. Sehingga semalam, 12 Mac, jumlah mangsa telah meningkat kepada 207 orang termasuk 4 orang terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), serta kira-kira 13 buah sekolah diarah tutup demi mengelakkan terdedah kepada pencemaran.

2. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang telah membuang bahan kimia ke dalam sungai hingga menyebabkan pencemaran gas metana ke persekitaran, seterusnya mengancam nyawa dan keselamatan penduduk setempat terutama pelajar-pelajar sekolah berhampiran.

3. Kepada ibu bapa, penjaga yang terlibat dengan kes ini, kami mendoakan agar semua jangan panik, tenang dan  tabah untuk menghadapi musibah ini dan lebih berhati-hati serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap tindakan agar tidak terhidu metana yang boleh mengancam nyawa.

4. Kami juga ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk mengadakan solat hajat dan berdoa agar bencana dan musibah yang melanda Pasir Gudang ini dalam keadaan terkawal dan dapat diselesaikan dengan sebaiknya oleh pihak berkuasa.

5. Di kesempatan ini juga, pihak kami amat berbesar hati mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada staf dan petugas yang menjalankan tanggungjawab sebaiknya, baik di hospital, klinik kesihatan dan mana-mana premis yang bertungkus-lumus memastikan pesakit dirawat dengan baik. Tidak dilupakan kepada semua petugas dari PAS dan NGO yang turut turun menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Dr. Rosni Adam
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
13 Mac 2019 bersamaan 6 Rejab 1440