Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Seruan Solat Hajat Kesejahteraan Negara Dari Koronavirus

11875
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

15 JAMADIL AKHIR 1441H  l  9 FEBRUARI 2020

SERUAN SOLAT HAJAT KESEJAHTERAAN NEGARA DARI KORONAVIRUS

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru semua umat Islam di negara ini khususnya untuk mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan negara dari bala wabak coronavirus yang sedang melanda di seluruh negara termasuk Malaysia.

2. Setakat ini laporan dari portal Kementerian Kesihatan Malaysia pada 7 Februari 2020 menunjukkan sebanyak 34 920 kes di seluruh dunia yang melibatkan 25 buah negara termasuk Malaysia. Jumlah kematian disebabkan wabak ini dicatatkan mencecah sehingga 724 kes dan semua di luar negara khususnya di China. Walaupun Malaysia tidak terdapat kes kematian disebabkan wabak ini, namun langkah berjaga-jaga perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa kerana sudah mencecah 16 kes dilaporkan positif dan salah satunya dari rakyat warganegara sini.

3. Wabak yang melanda dunia pada hari ini selain dari aspek langkah penjagaan keselamatan dan kesihatan, selaku umat Islam tidak boleh dikesampingkan tuntutan dalam berdoa, bermunajat serta melaksanakan solat hajat khususnya agar Allah melindungi kita semua dari bala yang tidak diingini ini.

4. Sehubungan itu, DUPP menyeru semua umat Islam untuk mengadakan solat hajat ini setiap hari sama ada di masjid, surau, markaz serta di kediaman masing-masing agar Malaysia khususnya diberikan kesejahteraan oleh Allah dari wabak coronavirus.

5. DUPP juga mengarahkan agar semua ahli PAS secara khusus untuk mengadakan solat hajat perdana pada 13 Februari 2020, hari Khamis selepas solat Fardhu Maghrib diadakan bagi tujuan yang sama.

Firman Allah SWT :

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِی عَنِّی فَإِنِّی قَرِیبٌۖ أُجِیبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡیَسۡتَجِیبُوا۟ لِی وَلۡیُؤۡمِنُوا۟ بِی لَعَلَّهُمۡ یَرۡشُدُونَ

Maksudnya :
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” – [Surah Al-Baqarah 186]

6. Di kesempatan ini juga, DUPP memperingatkan semua umat Islam perlulah sentiasa bermuhasabah diri dan bertaubat dari segala kesalahan dan dosa yang ada agar Allah tidak menjadikan asbab dosa dan kesalahan tersebut sebagai azab menerusi bala yang menimpa ini.

Sabda Rasulullah SAW :

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ.

Maksudnya :
Tidaklah sesuatu menimpa seorang muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya. – riwayat al-Bukhari

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)