Home Rencana PAS Kedah

Seribu hikmah di sebalik Tragedi Kepala Air Gunung Jerai

377
SHARE

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

ALOR SETAR, 9 Sept : Kedah sekali lagi mendapat perhatian seluruh negara apabila berlaku tragedi kepala air Gunung Jerai di Daerah Yan dan Kuala Muda. Ia memberi kesan teruk kepada kira-kira 2 ribu premis yang terdapat di sekeliling Gunung Jerai. Seramai enam orang terkorban.

Yan adalah sebuah Daerah pelancongan di Kedah. Daripada 23 buah pusat penginapan komersial, 13 terkesan teruk. Terdapat anak sungai bertukar haluan serta beberapa buah pusat rekreasi berubah wajah sama sekali.

Apabila berlaku bencana besar seperti itu, seperti biasa muncullah para ‘professor serba tahu’ untuk mengulas tragedi yang berlaku. Sementelahan bebanan yang terseret bersama arus kepala air dari Gunung Jerai adalah pokok-pokok besar dalam hutan, yang mudah disebut sebagai kayu balak; lantas pengamal media sosial pro pembangkang mengaitkan aktiviti pembalakan haram yang kononnya terdapat di Gunung Jerai.

Menteri Besar Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang hadir ke tempat bencana tidak sampai 5 jam selepas kejadian, menegaskan dari awal bahawa tiada aktiviti pembalakan di Gunung Jerai. Ini kerana, kawasan pergunungan tersebut diwartakan sebagai Hutan Perlindungan. Selepas itu, Jabatan Perhutanan turut mengesahkan bahawa langsung tiada aktiviti pembalakan di situ sejak 30 tahun.

Bagi orang luar yang tidak pernah nampak Gunung Jerai di hadapan mata, mudah saja hendak gambarkan gunung Jerai. Ia bukan sambungan dari banjaran gunung yang memanjang dari tempat lain. Gunung Jerai ibarat sebuah piramid ‘setongkol’ yang dikelilingi kawasan penempatan manusia. Ia mengunjur hingga rapat ke laut.

Sekalipun jarak antara Alor Setar dan Pulau Pinang adalah melebihi 100 km, namun penduduk Alor Setar dan Pulau Pinang dapat melihat Gunung Jerai dengan jelas. Mana mungkin aktiviti penggondolan hutan boleh berlaku tanpa diketahui oleh manusia yang berada di sekelilingnya. Sebab itu apabila muncul fitnah bahawa terdapat pembalakan, maka netizens yang paling kuat menangkis dakwaan adalah rakyat Kedah itu sendiri.

Aktivis maya pembangkang tidak berputus asa untuk mengaitkan kejadian banjir dengan pencerahan hutan. Lantas megaitkan dengan aktiviti kuari yang terdapat di Singkir yang boleh tampak dengan jelas dari Pantai Merdeka. Kononnya itu adalah projek setahun kerajaan PN. Walhal projek tersebut bermula dari kerajaan sebelum Almarhum Tan Sri Azizan Razak jadi MB Kedah lagi.

Sewaktu jadi pembangkang PAS bersama dengan NGO yang memperjuangkan alam sekitar membantah projek tersebut kerana di samping merosakkan sistem ekologi, memusnahkan kawasan tadahan air, ia juga membawa bencana dan kemudharatan kepada penduduk tempatan.

Malangnya apabila PAS memegang tampuk kuasa pada 2008, kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM40 juta jika mahu membatalkan projek. Jumlah tersebut terlalu besar jika ditukarkan dalam bentuk kebajikan untuk rakyat. Maka pilihan yang kurang mudharatnya ialah projek dibiarkan terus beroperasi.

Satu lagi projek kuari bijih besi yang terdapat di Tupah, juga beroperasi lebih 10 tahun lalu. Kedua-dua kuari di Singkir dan Tupah tiada kena mengena dengan tragedi kepala air di Yan dan Gurun. Kuari terletak pada kedudukan yang lebih rendah berbanding puncak Gunung Jerai yang setinggi 1,217 meter. Ia terletak di bahagian lain dari Yan dan Gurun. Mana mungkin air dari kuari, naik semula ke puncak gunung untuk turun di sebelah Yan dan Gurun.

Terjahan ganas kepala air di Gunung Jerai berlaku di tengah keganasan cybertrooper pembangkang membelasah Menteri Besar Kedah. Mereka menunggang isu demi isu yang remeh untuk mencari kesilapan beliau. Rupanya banjir kepala air turut memadamkan perancangan naratif jahat cybertrooper pembangkang.

Muhammad Sanusi turun menjengah kawasan bencana hampir setiap hari pada beberapa hari awal kejadian. Beliau tidak turun dengan tangan kosong. Mangsa tragedi, pengusaha pusat peranginan (chalet), pihak sekolah, masjid, kakitangan awam serta frontliners semua terkesan dengan sentuhan MB.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun ke Kedah untuk melawat kawasan tragedi hanya tiga hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 9. Beliau lantas mengumumkan peruntukan RM75 juta untuk membaikpulih kerosakan yang berlaku. Berikutnya, hampir kesemua menteri yang berkaitan turun ke lokasi kejadian. Begitulah istimewanya Kedah di mata Pusat.

Di pihak parti, pengurusan bencana kali ini adalah yang terbaik. Meskipun banyak NGOserta parti politik turut serta menghulurkan bantuan pasca tragedi, namun PAS adalah yang paling menonjol dan bergerak paling sistematik dalam bekerja.

PAS mempunyai bilik gerakan yang menyelaraskan bantuan yang datang dari seluruh pelosok negara, di samping parti itu sendiri turut menggerakkan tabung sumbangan untuk mangsa tragedi. Bantuan peralatan rumah, makanan dan lain-lain dihantar secara menyeluruh kepada setiap mangsa terkesan iaitu hampir 2,000 premis terbabit. Ia berbeza dengan kebanyakan NGO yang hanya menerjah ke satu-satu lokasi pilihan sahaja, sehingga menimbulkan rasa kecil hati pihak yang tidak menerimanya.

Sehingga kini, sudah tiga fasa bantuan disampaikan kepada mangsa secara terancang.Dalam fasa keempat yang dijadual pada 11 September ini, PAS akan menghulurkan wang tunai sebanyak RM200 pada setiap keluarga, RM3000 pada pengusaha chalet, sekolah, masjid dan surau terbabit. Ia melibatkan peruntukan tunai sebanyak RM425 ribu. Di samping itu, baki peralatan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak juga akan turut diagihkan.

Dari aspek bantuan pembersihan dan pembaikan fasa banjir, Jabatan Amal Malaysia dan Khidmat Malaysia (NGO bantuan bencana di bawah kelolaan PAS) paling menonjol.

Sensasi ‘solat atas batu’ yang dimainkan cybertrooper pembangkang rupanya secara tak langsung menggilap imej Jabatan Amal yang banyak melakukan kerja kebajikan. Majoriti warga maya bangkit menyanggah pembangkang yang asyik menimbulkan perkara remeh, di sebalik keikhlasan Jabatan Amal turun padang membantu masyarakat.

Ribut kepala air Gunung Jerai sama sekali bukan perancangan manusia. Jika ada pilihan, tiada siapa pun mahukannya. Namun Allah mengtakdirkan ianya berlaku, lalu mengatur pelbagai hikmah besar di sebaliknya. Alhamdulillah, perancangan Allah adalah yang terbaik.

-Tasnim