Home Berita PAS Sarawak

Serahan sumbangan Kasih Aidiladha, penduduk zahir syukur

31
SHARE

Oleh: Yat Abdullah

Kota Samarahan, 19 Julai : PAS Kawasan dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan meneruskan lagi misi kebajikan pada kali ini dengan menyampaikan bantuan Tabung Bencana Covid 19 (TBC) PAS Sarawak dan juga infak daripada orang ramai yang telah berlangsung semalam, Ahad 18 Julai 2021.

Justeru itu, seramai 50 buah keluarga di Kampung Baru dan Kampung Tanjong Bundong telah menerima sumbangan tersebut bersempena Aidiladha yang bakal menjelang.

50 buah keluarga tersebut terdiri daripada golongan yang terkesan lantaran Perintah Kawalan Pergerakan, ibu tunggal dan warga emas.

Sumbangan yang diberikan berupa barang keperluan asas yang diharapkan dapat meringankan beban mereka.

 

Menurut salah seorang penerima sumbangan di Kampung Tanjong Bundong, pendapatannya agak terkesan susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini kerana tidak dapat bekerja seperti biasa memandangkan permit bekerja yang diberikan hanya untuk sehari.

Rata-rata penerima sumbangan menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diagihkan. Mereka juga berharap lebih ramai pihak akan melakukan usaha yang sama bagi meringankan beban dan masih ramai penduduk yang memerlukan.

Antara yang hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) PAS Negeri Sarawak, Zulkipli Ramzi, Ketua Pemuda (KP) PAS Negeri Sarawak, Hamdan Sani, dan juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kota Samarahan, Nizar Ahmad yang bersama-sama turun padang mendengar dan melihat sendiri luahan dan kesusahan yang ditanggung penduduk setempat.

Penyerahan sumbangan telah berjalan dengan lancar di samping mematuhi tatacara operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.