Home Berita PAS Pusat

Seorang Muslim Mesti Berilmu & Berjuang.

681
SHARE


SEORANG MUSLIM MESTI BERILMU & BERJUANG.

Naskhah Dakwah PAS Pusat. Siri 22
7 Jamadil Akhir 1441 | 1 Feb 2020

Kata lah: Aku Telah Beriman ! Kemudian Bangkit Mendirikan Tuntutan Iman tersebut.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
https://m.facebook.com/naskhahdakwah‬
https://t.me/Naskhahdakwah‬


1. Sejurus kita menyaksikan bahawa Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah SWT. Kita berkewajipan bangkit berjuang demi mempertahankan iman dan menegakkan segala tuntutannya.

2. Tidak boleh kita berpeluk tubuh, membiarkan Islam dihina saban hari dan dipersenda pada segenap ruang. Melainkan kita mestilah mempertahankan kesucian Islam dan menegakkan kebenarannya.

3. Tindakan seorang pejuang :

a) Menuntut Ilmu :

mendalami urusan agama serta menghayati dan mempraktiskannya dalam kehidupan. Jangan biarkan kejahilan menguasai diri dan masyarakat.

Firman Allah SWT:

‎وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidak selayaknya orang yang beriman keluar semuanya (berperang), sebaliknya hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari agama secara mendalam dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka senantiasa berwaspada.

Surah At Taubah : 122

b) Melibatkan diri dengan gerakan Islam:

Islam tidak boleh ditegakkan secara individu melainkan mesti secara jamaei. Inilah sunnah perjuangan.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang (berjuang) untuk membela agamaNya, dalam satu ketumbukan (saf) yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Surah As Saff : Ayat 4

4. Tidak hanya menuntut ilmu atau sekadar menjadi ulat kitab dan kemudiannya tertambat dalam kitaran perbahasan akademik semata, tanpa menyertai gerakan Islam untuk merencana aktiviti dan gerakan amal Islami secara munazzamah (sistematik).

5. Menuntut ilmu tanpa melibatkan diri dalam gerakan Islam hanyalah membataskan fungsi dan peranan ilmu.

6. Seorang yang berilmu menjadi jumud tanpa penglibatan dengan gerakan Islam yang menghidupkan ilmunya dalam medan orientasi dan mengaktifkan ilmunya dalam ruang implementasi.

7. Sedang ilmu selayaknya digerakkan secara kolektif untuk memandu ummah secara terancang agar dapat membina sebuah tamadun yang hebat dan kuat.

8. Melibatkan diri dengan gerakan Islam tanpa menuntut ilmu adalah satu kepincangan pula, justeru ilmu adalah alat yang paling utama untuk berjuang menyampaikan risalah Islam dan menegakkan syariatnya.