Oleh : Sumayyah Ahmad
MASJID TANAH, 1 Feb : Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Abu Naufal Samsudin berharap agar guru-guru PASTI di dalam Kawasan Masjid Tanah akan terus kuat menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semasa menyerahkan sumbangan untuk guru-guru PASTI dalam satu program ziarah mahabbah ke premis-premis PASTI di dalam kawasan Masjid Tanah, di sini, hari ini.
“Alhamdulillah pada hari ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah keluarkan memo pengoperasian semula PASTI.
“Diharapkan semua guru-guru PASTI di Kawasan Masjid Tanah ini juga dapat menjaga sepenuhnya SOP yang telah diperketatkan bagi menghalang penularan virus Covid-19.
“Yakinlah Allah sentiasa bersama kita. Kita jaga kita,” ujar Ustaz Abu Naufal yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.
Sementara itu Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman yang turut bersama di dalam program ini pula berharap agar sumbangan yang diedarkan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh guru-guru PASTI.
“Kita memang ada kemampuan yang terbatas. Namun kita cuba bantu mana yang boleh untuk meringankan beban guru-guru.
“Kita tahu guru-guru memang banyak berkorban. Gaji pun tak besar. Dengan beban kerja yang berat. Kita sangat hargai semua itu.
“Insya-Allah, jika kita ada lagi kemampuan kita akan bantu lagi,” ujar beliau lagi.
Sebanyak 34 unit kit sumbangan telah diagihkan kepada kepada guru-guru yang bertugas di lapan buah PASTI iaitu PASTI Harun Ar-Rasyid, PASTI As-Syifa, PASTI Aliya Zahra, PASTI Al Murabbitun, PASTI Al Hikmah, PASTI An-Nur, PASTI Luqman dan PASTI Al Jali.
Kit makanan tersebut telah disumbangkan oleh pihak Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah.
Di samping menyampaikan sumbangan, ziarah mahabbah setiap PASTI diadakan bagi mengeratkan silaturrahim dan menjaga kebajikan guru-guru yang bertugas di PASTI masing-masing yang mengajar murid secara dalam talian.
Sumbangan dan ziarah tersebut sedikit sebanyak memberikan kegembiraan dan semangat kepada guru-guru yang bertungkus lumus mendidik murid-murid PASTI menggunakan kaedah norma baru.
Agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN |