BALING, 3 Nov – Perlu ada satu perancangan teliti untuk mengatasi masalah banjir kilat dalam daerah Baling yang berlaku setiap tahun.
Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad berkata, penyelesaian kepada masalah itu mengambil masa di samping kos kewangan yang tinggi.
“Banjir kilat kali ini agak luar biasa kerana melibatkan banyak kerosakan seperti jalan, jambatan, titi dan tebing runtuh.
“Bahkan ia melibatkan hakisan sungai berskala besar yang mengubah aliran sungai,” katanya kepada Media PAS Baling hari ini.
Tambahnya, hakisan sungai turut menyebabkan ada penduduk yang tinggal di tepi sungai kehilangan tanah bergeran milik mereka.
“Masalah banjir kilat yang berlaku memerlukan kepada perancangan yang teliti untuk baik pulih, satu perkara yang ‘major exercise’, ia melibatkan peruntukan yang besar,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang.
Menurutnya, masalah banjir kilat di Baling akan dibawa kepada perbincangan di peringkat Exco.
Najmi berkata, bagi bantuan jangka pendek, setiap wakil rakyat dengan menggunakan peruntukan kerajaan akan membantu penduduk terjejas dalam sudut bantuan asas seperti kit makanan dan sebagainya.
“Bagi kerosakan infrastruktur, kita sudah panjangkan kepada agensi berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk penilaian.
Terdahulu, Najmi pada pagi tadi telah melawat 29 mangsa banjir di Pusat Permindahan Banjir Sementara (PPBS) Sekolah Kebangsaan Kampong Keda sebelum melawat 159 mangsa banjir di PPBS Sekolah Kebangsaan Pulai.
Turut hadir Penolong Pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kupang Ustaz Hassan Saad.
Sebagai rekod, masalah banjir kilat di Baling ini bukanlah kali pertama berlaku namun sudah berlarutan puluhan tahun lamanya.