Home Berita PAS Selangor

Selangor kes COVID-19 tinggi, jom ambil vaksin – PAPISMA Selangor

124
SHARE

May be an image of text

“Saff Bahtera BPPNS” | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Abu Aslah Al-Qudsi

Sungai Buloh | Kes di seluruh Selangor telah mencecah angka 2000 lebih sehari. Negeri yang tertinggi kes berbanding seluruh negara. Mendapat berita hampir setiap hari ada kes-kes dari saudara mara, kenalan, jiran tetangga bahkan menyedihkan lagi ada yang positif melalui ahli keluarga sendiri. Ini beerti saat ini ada dua perkara penting yang perlu dilakukan oleh rakyat Selangor iaitu self lockdown dan vaksinisasi.

Dr Fairuz Azmi selaku AJK Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) peringkat Selangor ketika mengeluarkan satu hantaran di media sosial menyebutkan keperluan mendesak hari ini adalah untuk terus mendidik masyarakat akan kepentingan mengambil vaksin. Berdasarkan kepada kajian, masyarakat warga emas adalah kelompok yang akan menerima manfaat paling baik daripada vaksin dari sudut survival dalam ICU dan seumpamanya.

“Menerima suntikan vaksin menyebabkan ada sedikit kesan sampingan. Saya sendiri setelah divaksin merasa mengantuk, sakit kepala, lenguh tangan dan demam. Pun begitu ianya satu tindak balas normal dalam badan untuk mempertingkatkan imuniti dalam tubuh seseorang”, ulas beliau lagi.
Dr Fairuz yang juga merupakan Pensyarah Perubatan di sebuah universiti tempatan menjelaskan lagi bahawa mengapa kita semua tetap kena mengambil vaksin walaupun ada kesan sampingan? Memetik ulasannya, beliau menghuraikan justifikasi seperti berikut :

1. Kesan sampingan adalah kecil berbanding manfaat yang kita dapat daripada vaksin. Vaksin menyediakan badan kita dengan sel-sel perlindungan khas bagi melawan virus COVID-19

2. Negara-negara yang telah berjaya memvaksin ramai rakyatnya, telah menunjukkan kemampuan mengawal jangkitan dengan baik.

3. Vaksin adalah satu bentuk usaha bukan sahaja melindungi diri sendiri tapi juga melindungi orang-orang di sekeliling kita. Menolak vaksin tanpa sebab yang benar adalah sikap yang penting diri sendiri.

4. Saya mahu negara dan dunia cepat-cepat keluar dari pandemik ini. Maka, wajarlah saya bersama dengan usaha membina imuniti kelompok dalam masyarakat.

“Tahniah kepada kawan-kawan yang berusaha memujuk mak ayah, mak cik, pak cik, nenek dan atok serta keluarga untuk daftar mengambil suntikan vaksin”, jelas beliau lagi.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor