Home Artikel PAS Johor

Selamatkan Sungai Sebagai Sumber Air Kita

715
SHARE

SELAMATKAN SUNGAI SEBAGAI SUMBER AIR KITA

1. PAS KAWASAN KLUANG menggesa semua pihak agar dapat memberikan perhatian yang serius terhadap titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah supaya semua pihak dapat bersama-sama mempertahankan kebersihan sungai yang juga sumber utama minuman serta keperluan harian, selain menjadi tempat habitat bagi haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

2. Titah tersebut yang telah disampaikan di dalam Majlis Konvokesyen UTM yang ke-62 semalam sebagai rentetan kebimbangan terhadap masalah pencemaran sungai yang berterusan berlaku di Johor.

3. Kes pencemaran sungai di Johor sangat serius dan terdapat beberapa kes berlaku dalam tempoh dua bulan terakhir ini.

4. Pada awal bulan Mac 2019, telah berlaku pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga menyebabkan ancaman yang serius terhadap kesihatan masyarakat setempat di sana.

5. Pada 25 Mac 2019, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah menitahkan pihak berkuasa menyiasat dengan segera pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap di Simpang Renggam hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan-ikan.

6. Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh menyatakan bahawa kematian ikan di sungai itu adalah disebabkan kandungan ammonia yang tinggi kesan limpahan air sampah.

7. Datuk Dr Mohammad Ezanni juga pernah mengeluarkan kenyataan pada akhir tahun lalu bahawa terdapat sebanyak 22 sungai di Johor berada di kelas empat mengikut rekod JAS negeri sehingga September lepas dengan menyebut Sungai Segget, Sungai Sebulung dan Sungai Plentong antara yang terlibat.

8. Pada 15 April 2019 pula, Syarikat Air Johor (SAJ) telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat kira-kira 17,000 pengguna akaun air di Kulai mengalami masalah bekalan air akibat pencemaran ammonia di Sungai Sayong disebabkan ban takungan di pusat bio-komposit bersebelahan sebuah kilang kelapa sawit di Sedenak pecah, lalu menyebabkan air mengandungi ammonia mengalir masuk ke Sungai Sayong.

9. Isu ini semakin semakin serius dan PAS kawasan Kluang agar ianya diberikan perhatian yang paling optimum oleh kerajaan negeri Johor.

10. Langkah pencegahan, penguatkuasaan serta kesedaran terhadap masyarakat perlu dipertingkatkan. Rakyat negeri Johor perlukan sungai dan air yang bersih.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Yang Di Pertua PAS kawasan Kluang
23 Sya’aban 1440/30 April 2019