Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Selamat Menyambut Hari Pekerja – MusMedik

73
SHARE

Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Sejahtera

Jabatan Muslimat Medical Team (MusMedik), Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh petugas barisan hadapan yang telah lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 yang mencengkam ini.

Walau di mana jua anda berada, samada sedang membuat saringan swab test di peringkat komuniti, menjalankan contact tracing, menjalankan ujian COVID-19 di makmal, merawat pesakit COVID-19 di wad dan ICU, mengumpul data-data kes COVID-19 serta keperluan ICU, melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan pematuhan SOP, mengadakan sekatan jalanraya, mengebumikan jenazah COVID-19, ataupun gigih menjalankan program-program vaksinasi, andalah wira negara.

Para petugas barisan hadapan adalah wira-wira negara yang tidak pernah kenal erti lelah, sentiasa bersedia berkorban demi negara, berjauhan dengan keluarga tercinta, dan tidak kurang juga yang terpaksa menerima segala tohmahan dan cacian dari masyarakat dalam menjalankan amanah tugas yang digalas.

Di kesempatan ini, saya bagi pihak Jabatan MusMedik DMPM ingin menyeru kepada seluruh anggota masyarakat agar dapat memudahkan urusan para petugas barisan hadapan dengan cara :

i. Patuh kepada segala ketetapan dan arahan daripada pihak berwajib, terutama Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An Nisa’ ayat 59 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

ii. Hentikan penyebaran berita-berita palsu atau tidak sahih sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al Hujurat ayat 6 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

iii. Perbanyakkan sabar dan syukur, dengan memerhatikan keadaan musibah COVID-19 yang lebih besar sebagaimana yang melanda negara India dan Brazil.

Semoga dengan segenap lapisan anggota masyarakat berusaha memudahkan urusan para petugas barisan hadapan, maka Allah SWT akan memudahkan pula urusan setiap dari kita dalam menghadapi musibah COVID-19 ini. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Akhir kata, semoga para petugas barisan hadapan terus kuat, tabah dan sabar dalam mengharungi ujian COVID-19 ini, sesungguhnya kemenangan akan bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Selamat Hari Pekerja Buat Seluruh Petugas Barisan Hadapan COVID-19

Dr. Reen Mohd. Amin
Pengarah
Jabatan Muslimat Medical Team (MusMedik)
Dewan Muslimat PAS Malaysia