‘Selamat Hari Guru’ Buat Semua Pendidik
1. Saya mewakili seluruh saff kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua tenaga pengajar di seluruh Malaysia khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan PAS seperti PASTI, SRITI, KUIZM dan lain-lain institusi pendidikan.
2. Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun pada 16 Mei sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa.
3. Peranan guru sebagai pendidik bukan sahaja memberi ilmu kepada pelajar. Bahkan mereka perlu diasuh dengan acuan yang memenuhi fitrah dan tujuan pemciptaan manusia oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepada Allah, memakmurkan bumi (khalifah) dan menunaikan amanah dengan adil.
Diriwayatkan oleh Muaz bin Anas RA, bahawa Rsulullah SAW bersabda:
مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, No. Hadith 236]
4. Begitu besar pahala seorang guru dalam mendidik anak watan. Kita perlu menerima hakikat bahawa institusi perguruan dalam sektor pendidikan merupakan faktor utama kejayaan dalam pembangunan insan dan jati diri rakyat Malaysia.
5. Akhir kata, Muslimat PAS berharap sistem pendidikan perlu diperbaiki bagi mengikut acuan pendidikan yang diajar oleh Allah SWT berteraskan pendidikan holistik (menyeluruh dan bersepadu) berpaksikan ketuhanan.
*_”Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”_*
*_“Muslimat Memacu Kemenangan”_*
*NURIDAH MOHD SALLEH*
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Syaaban 1439 H
16 Mei 2018