Home Minda Presiden

Selamat bertugas kabinet baru: Tekun dan beristiqamah

268
SHARE

Minda Presiden PAS
SELAMAT BERTUGAS KABINET BARU: TEKUN DAN BERISTIQAMAH


Tanpa diragukan lagi bahawa kabinet baharu pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada tugas yang telah dilaksanakan oleh barisan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan PN gagal dijatuhkan melalui cara tebuk atap oleh Pakatan Harapan (PH) dan gerombolannya yang terus-menerus berpolitiking ketika rakyat berada dalam kecemasan bagi menghadapi pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap kehidupan mereka.

Jangan dipedulikan tuduhan yang ditujukan terhadap kerajaan PN, kononnya telah gagal mengatasi wabak dan bencana yang menjadi ketentuan Allah SWT kepada seluruh dunia ini. Hal ini demikian kerana, kemampuan kita sekadar berikhtiar untuk mengatasi masalah rakyat yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif yang memberangsangkan.

Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PN sama sekali berbeza daripada kerajaan PH yang tidak menunaikan janji yang mampu ditunaikan oleh mereka. Lebih-lebih lagi, ketika belum berlaku penularan pandemik Covid-19.

Akan tetapi, wabak pandemik yang dihadapi oleh PH ialah wabak politiking berebut jawatan Perdana Menteri. Sehinggakan jawatan tersebut terpaksa ditinggalkan oleh pemimpinnya, bukan sahaja oleh ahli biasa.

Di samping itu, kemenangan yang dicapai oleh PH adalah sangat rapuh bersama janji mereka yang tidak boleh ditunaikan. Janji bohong yang bertujuan menggula-gulakan rakyat semata-mata bagi mencapai kemenangan yang mentah, sehingga ia menyesakkan fikiran para pendukungnya.

Adapun tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya masih dalam perjalanan. Sepatutnya mereka tunggu sehingga masa penamatnya.

Khusus kepada barisan kabinet kerajaan yang akan menyambung tugas, ingatlah satu pepatah Arab pernah menyebutkan:

دع الكلاب تنبح و الذئاب تعوي والقافلة تسير.

“Biarkan anjing dan serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan.”

Walaupun kabinet baharu kerajaan ini dikatakan sebagai kabinet kitar semula, sebenarnya ia adalah laksana mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama. Gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat, dan gagal dicuri ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap. Mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukan dengan merobohkan bangunannya. Hal ini disebabkan apa yang berlaku sekarang bukannya membina bangunan yang baharu.

Orang tua Melayu juga ada berkata secara khurafatnya:

“Kalau rumah dimasuki biawak atau ular, maka perlu ditawarkan malangnya dengan mengalih tapak rumah.”

Sekiranya ada atap yang terjejas kerana diganggu oleh perompak, maka perabotnya perlu diubah kedudukannya supaya lebih selesa dan selamat, sementara menutup atap yang bocor.

Pertukaran Perdana Menteri boleh berlaku dengan tidak memecahkan kerajaan PN, dan ia sangatlah berbeza dengan PH yang tidak mampu menukar Perdana Menteri tetapi terus retak lalu berpecah.

Oleh itu, kabinet yang baharu dilakukan perubahan boleh meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya. Pada masa yang sama, mendapatkan kerjasama yang bersemangat daripada jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, khususnya mereka yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi pandemik dan kesan sampingannya.

Tawaran kepada pihak pembangkang pada awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, akhirnya dapat diterima juga kerana belum lagi menjadi sesal kemudian tidak berguna lagi. Akhirnya tawaran itu diterima, walaupun sebahagiannya sudah ditarik.

Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik. Satu keadaan yang sangat positif kepada kabinet baharu dan jentera kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15.

Kita mengharapkan segala tumpuan diberikan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah asasi yang terdesak dalam keadaan darurat hari ini. Peranan mereka yang berada di barisan hadapan juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius dari segi pengorbanan harta dan jiwa raga yang dikorbankan demi menyelamatkan nyawa rakyat dan negara.

Usaha mencegah penularan wabak pandemik melalui agenda vaksinasi yang disebarkan seluas-luasnya, sudah mula menunjukkan tanda awal kejayaan negara kita sehingga ke tahap dunia. Keadaan ini boleh memberikan suatu nafas yang segar dan memberangsangkan kepada semua pihak yang terlibat.

Khususnya barisan hadapan yang menghadapi wabak Covid-19 dan mereka yang bertugas untuk menangani kesan pandemik terhadap kehidupan rakyat dan perjalanan ekonomi negara. Terutamanya bagi memenuhi segala keperluan asasi rakyat dan perjalanan aktiviti kemajuan yang lain.

Sambutan rakyat kepada usaha yang dilakukan sangat penting bagi menjana kejayaan dalam segala perancangan yang diatur. Pada masa yang sama, pihak kerajaan hendaklah mendengar dan menerima pandangan serta kritikan yang membina daripada semua pihak dengan melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

Barisan kabinet baharu juga perlu bersikap menerima penyertaan semua pihak bagi melibatkan diri dan memainkan peranan. Termasuklah penglibatan NGO dan pihak pembangkang yang akan lebih membantu kecepatan proses untuk mencapai kejayaannya, insya-Allah.

Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengaganas. Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga.

Hal ini disebabkan mereka yang menjadi mangsa wabak pandemik tidak mengenal, sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, termasuklah kalangan yang membisu di atas pagar.

Hidupkan semangat yang bersumberkan firman Allah SWT:

﴿…وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٢﴾

“…Dan hendaklah kalian bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kalian bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Muharram 1443 / 30 Ogos 2021