Home Berita PAS Pahang

PAS telah buktikan mampu tadbir negeri, akan buktikan mampu tadbir negara

656
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 3 Ogos :: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah menunjukkan pencapaian dan prestasi yang baik di bawah pimpinan PAS di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu dan membuktikan PAS mampu mentadbir negara.

Pimpinan PAS yang bersih, selain dari bebas rasuah juga telah membuktikan keupayaan dalam pentadbiran, mampu mencatat kamajuan ekonomi dan sentiasa konsisten mengajak kepada perpaduan dan penyatuan ummah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Indera Mahkota dekat sini baru-baru ini.

“Kita kena terus bergerak ke hadapan maka kerana itu jangan kita was-was dalam perjuangan, kena pastikan bahawa segala apa yang dirancang, segala apa yg digariskan oleh kepimpinan kita dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” tegas beliau lagi, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pada MAT tersebut hadirin turut menghayati tayangan video amanat Presiden PAS Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang meminta agar ahli PAS sentiasa bersabar dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, yang sentiasa diuji dalam diri sendiri dengan ujian hawa nafsu selain dari menghadapi musuh yang menghalang Islam mencapai kemenangan di negara kita.

“Dalam dunia hari ini Islam dihalang di mana-mana sahaja bukan sahaja oleh musuh, tetapi termasuk juga di kalangan yang berkawan dengan kita.

“Mereka tidak percaya, tidak yakin dengan perjuangan Islam dan tidak memberi Islam berkuasa dan memerintah. Tujuan kita adalah untuk mendaulatkan Islam di samping berkuasa dan memerintah¬† maka kita usahakan,” kata Abdul Hadi Awang.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, Andansura Rabu dalam ucapan aluannya berkata, Lagu Negeri Pahang dimainkan dalam majlis perasmian MAT pada tahun ini bertepatan dengan hala tuju kita untuk menerajui Pahang selepas PRU 15 nanti.

“Kita nyanyi Lagu Pahang setiap kali ada majlis, sebab kita tahu masih ada lagi di kalangan kita yang tergagap untuk menyanyi kerana ramai orang luar, jadi kita kena perkenalkan Lagu Negeri Pahang sebagai persiapan kita menerajui Pahang, baru semangat untuk teraju Pahang.

“Kita akan sentiasa berusaha menggerakkan rakyat dalam kita nak memimpin penyatuan ummah,¬† kita kena terus istiqamah dan cekal di dalam apa saja ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh pimpinan nanti,” kata Andansura.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah mengharapkan agar ahli PAS sentiasa patuh dan taat kepada segala keputusan dan ketetapan yang telah dibuat oleh parti, dan terus bekerja mengikut perancangan yang telah disusun dan diatur.

Turut hadir majlis perasmian adalah Ketua Parti Bersatu Indera Mahkota Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Pengerusi Parti GERAKAN Negeri Pahang Dato’ Ranndy Yap Kim Heng, dan Ketua GERAKAN Bahagian Indera Mahkota Chan Chee How.