KOTA SARANG SEMUT- Sektor pertanian dan perindustrian menjadi sektor utama pelonjak kepada negeri Kedah sebagai kuasa besar di Malaysia.
Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Kedah sejak dari dulu merupakan negeri pertanian dan kini akan menuju kepada negeri perindustrian.
“Ini bukan angan-angan tapi dok jadi dah,”ujar beliau dalam majlis Amanat Khas Tuan Guru Presiden PAS dan Taklimat Pencapaian Kerajaan Negeri Kedah di sini semalam.
Tambah beliau dengan kemurahan rezeki yang Tuhan anugerahkan kepada Kedah, kerajaan akan mengusahakan penanaman padi sebanyak lima kali dua tahun dan sekiranya berjaya akan ditambah enam kali dalam tempoh dua tahun.
Kini, MADA telah memaklumkan bahawa sudah ada 1000 hektar kawasan tanah padi yang melaksanakan penanaman padi sebanyak lima kali selama dua tahun di Kedah.
Di samping itu, masih ada 30 hektar untuk diusahakan bagi penambahbaikan dalam bidang saliran dan penghasilan benih supaya lebih cepat matang sehingga berupaya untuk mengejar penghasilan padi lima kali dua tahun.
Jelasnya lagi sekiranya dapat tanam lima kali selama dua tahun, pengeluaran padi akan mencecah 80 peratus dan jika enam kali negara tidak perlu lagi mengimport beras dari negara luar.
Menurut beliau inilah yang dinamakan ‘food security’ yang dihadapi dunia pada hari ini dan pada satu ketika nanti semua negara tidak akan menjual makanan kepada negara lain.
“Semoga kita hadapi dalam keadaan sudah berupaya untuk menyediakan makanan sendiri buat seluruh rakyat, itulah merdeka sebenar-benarnya,” kata Sanusi.
Mengulas berkenaan sektor perindustrian pula, menurut Muhammad Sanusi Kedah menjadi pengeluar semikonduktor terbesar melibatkan penghasilan mikrocip dan wafer untuk teknologi maklumat (IT), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Menjelang 2035, katanya Kedah memerlukan sebanyak 150,000 pekerja berkemahiran tinggi dan peluang itu mesti direbut sepenuhnya oleh rakyat Kedah.
Jelasnya lagi, AT&S Syarikat Austria yang melabur sebanyak RM5.8 bilion kini menambah pelaburannya menjadi RM10 bilion dan sedang mempercepatgandakan pembinaan kilangnya di Kedah.
Menteri Besar berkata pada tahun 2025, mereka (AT&S) akan mula beroperasi dan akan membekalkan micro cip kepada syarikat-syarikat besar di seluruh negara.