Home Berita PAS Negeri Sembilan

Sejarah kejayaan kerajaan PN menangani penularan Covid-19 : Kenapa PH dengan mudah melabelkan kerajaan ini gagal

373
SHARE

OLEH: RUSILAH MD SOM

SEREMBAN, 14 Ogos: “Entah mengapa mudahnya Pakatan Harapan (PH) melabelkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal dalam menangani penularan pandemik Covid-19, walaupun suatu ketika sejarah membuktikan kejayaan Malaysia dalam menangani pandemik tersebut terbukti seperti yang dilaporkan oleh wartawan Zanariah Abd Mutalib dalam Berita Harian keluaran 17 Jun, 2020 yang lalu, bertajuk “COVID-19: Kejayaan Malaysia perlu jadi contoh kepada Barat,” kata Ketua Penerangan ( KPEN) Negeri Sembilan, Badzli Bakar.

Menurutnya lagi, tahun 2020 kerajaan PN pernah mendapat pengiktirafan dunia apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerima Anugerah BrandLaureate daripada Yayasan Jenama Dunia (The World Brands Foundation).

Badzli Bakar menjadi salah seorang panel dalam pentas Program bual bicara Melaka Update anjuran Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka bersama dua orang lagi iaitu, KPEN Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin sebagai tuan rumah dan KPEN Negeri Johor, Rusman Kemin yang di adakan secara langsung kelmarin secara atas talian.

Terdahulu moderator forum, Ustaz Al Hafiz Yahya telah mengemukakan soalan kepada KPEN Negeri Sembilan berkaitan kegagalan kerajaan Malaysia menangani pendemik Covid-19 telah dikaitkan dengan fenomena “negara gagal” ( failed state) pada hari ini.

Memulakan bicara, Badzli Bakar memetik ayat al-Quran, surah al-Anbiya’:ayat 7, yang bermaksud, “Dan Kami tidak mengutus (rasul-rasul) sebelum engkau (Muhammad), melainkan beberapa orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”

Ayat Al Quran ada kaitan dengan tuduhan PH atau netizen yang menggunakan hastag” negara gagal ” kerana menggunakan fakta jumlah rakyat yang dijangkiti Covid-19 dan tidak berfaktakan dengan data-data yang berkaitan.

Jelas, mereka yang sewenang-wenang melabelkan kerajaan gagal itu, sebenarnya tidak disandarkan dengan fakta sebenar keadaan gelombang baharu yang melanda seluruh dunia, ujar beliau.

Badzli memberitahu bahawa PH hanya menggunakan indicator kenaikan jumlah kes sekarang yang telah mencapai kepada 5 angka berbanding kes yang hanya 2 angka di tahun lepas dan mereka membena persepsi dengan melabelkan kerajaan PN gagal.

Badzli membuat perbandingan dengan keadaan yang berlaku di Amerika ( US) , walaupun lonjakan kes rakyat yang dijangkiti Covid-19 berjumlah lebih kurang 37 ribu orang sehari, namun kerajaan pimpinan Joe Biden dari parti Demokratik tiada langsung dimomokkan oleh parti pembangkan iaitu parti Republikan dengan kenyataan kerajaan gagal.

Malahan banyak negara telah diberikan contoh oleh KPEN Negeri Sembilan seperti yang berlaku di Jepun, Indonesia dan Thailand, tiada kedengaran parti-parti pembangkang di negara-negara tersebut berusaha menggagalkan kerajaan sebaliknya bekerjasama, berganding bahu menangani pandemik Covid-19 tanpa memikirkan soal politik dengan melabelkan kerajaan gagal.

Menjawab soalan moderator mengenai kaitan vaksin dengan jumlah rakyat yang dijangkiti Covid-19 adalah terlalu tinggi sekarang, Badzli menjelaskan kadar jangkitan hanya 10 peratus manakala kadar kematian adalah 2 peratus daripada jumlah rakyat di seluruh negara di dunia.

Justeru, kata Badzli aspirasi kerajaan PN perlu di sambut baik oleh semua lapisaan masyarakat termasuk pihak pembangkang, iaitu untuk mencapai 80 peratus rakyat divaksin bagi mencapai imuniti kelompok bagi mengurangkan penularan pandemik Covid-19.

“Keberadaan Jabatan Amal Malaysia di kebanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara bagi membantu melancarkan pergerakan orang ramai yang datang untuk menerima vaksin adalah bukti bahawa PAS menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat,” tegasnya.

Menutup bicara forum malam tersebut, KPEN Negeri Sembilan mengajak semua rakyat agar mentaati pemimpin seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran, surah An-Nisa’: ayat 59.

Beliau menasihatkan PH atau sesiapa sahaja agar tidak menuding jari, sebaliknya perlu menjaga siqah kepada pemimpin yang ada sekarang, serta mengajak semua pihak bersama berganding bahu mengulangi kejayaan yang pernah dicapai oleh kerajaan suatu ketika dahulu bagi menangani pandemik Covid-19.