Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Segunung Harapan Buat Adik Nur Jannah

1204
SHARE

 

Segunung Harapan Buat Adik Nur Jannah

20 Mac 2018, Sabak Bernam : Kisah adik Nur Jannah Wardina yang dulunya pernah disiarkan di salah sebuah akhbar tempatan telah menarik perhatian Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM). Adik Nur Jannah menderita jantung berlubang di usia 4 bulan dan telahpun menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Berikutan daripada pembedahan itu, adik Nur Jannah memerlukan perbelanjaan yang besar bagi menampung bayaran pembedahan dan ubat-ubatan susulannya. Sebelum ini, Nur Jannah mempunyai seorang abang, namun meninggal dunia ketika usia 3 bulan akibat jangkitan kuman 2 tahun yang lalu.

Justeru itu, LKK DMPM telah melancarkan tabung sumbangan untuk membantu adik Nur Jannah, bagi meringankan bebanan kedua ibu bapanya membiayai perubatan dan rawatan susulan adik Nur Jannah. Kesemua wang hasil sumbangan orang ramai yang dermawan sejak sebulan yang lepas telahpun diserahkan kepada ibu kepada Adik Nur Jannah semasa lawatan Skuad Prihatin ke rumah mereka di Sabak Bernam pada 18 Mac 2018 baru-baru ini.

Puan Rabitahani Basroh, ibu adik Nur Jannah ceria menyambut kehadiran Skuad Prihatin LKK DMPM pada petang tersebut. Adik Nur Jannah juga kelihatan sihat dan stabil, namun masih memerlukan pemeriksaan susulan di IJN dan hospital Teluk Intan. Pada ketika ini, mereka sekeluarga tinggal di rumah bantuan zakat. Puan Rabitahani seorang yang sangat rajin mengusahakan jualan anak benih bunga dan tanaman herba.

Sebelum mengakhiri ziarah pada petang itu, Ustazah Nuridah Mohd Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia telah menyerahkan sumbangan orang ramai melalui Tabung Sumbangan LKK DMPM dan juga wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Sabak Bernam kepada Puan Rabitahani. Beliau meluahkan rasa terharu dan gembira di atas kehadiran rombongan Skuad Prihatin dan juga sumbangan orang ramai. Kepulangan Skuad Prihatin pada petang itu telah dibekalkan sebungkus pucuk bayam jepun sebagai buah tangan tanda penghargaan daripada Puan Rabitahani.

Turut hadir dalam ziarah prihatin pada petang itu ialah Cikgu Hashimah, Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Sabak Bernam , Ahli Jawatan Kerja (AJK) DMPK Sabak Bernam dan AJK LKK DMPK Sabak Bernam.