Home Berita PAS Pahang

Segerakan pembaikan dan pemulihan infrastruktur pasca banjir – Andansura

82
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 31 Mac :: Banjir adalah bencana alam yang tidak dapat dielakkan apabila tiba musim tengkujuh yang menyebabkan kemusnahan dan kerosakan kepada infrastruktur kawasan yang terlibat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu membangkitkan perkara tersebut ketika perbahasan Sidang Dewan Negeri Pahang kelmarin.

Menurut beliau, jalanraya di DUN Beserah merupakan laluan penting setiap hari antara Kuantan hingga ke Terengganu bagi pelbagai jenis kenderaan, termasuklah berat dan saiz kenderaan tersebut.

Beliau menambah, dengan memberi contoh jalanraya-jalanraya di kawasannya yang telah banyak mengalami kerosakan begitu lama tanpa ada tindakan pembaikan dan pemulihan  segera dilakukan.

“Jalan berlubang serta hakisan longkang, sungai dan pantai antara kesan bencana yang dapat dilihat dan memerlukan perhatian segera.

“Selain itu, kerosakan ini juga memberi ancaman keselamatan kepada pengguna serta boleh menyebabkan kerosakan kenderaan,” ujar beliau lagi.

Mengulas isu keselamatan jalanraya, Andansura juga membangkitkan masalah lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi, ada di antaranya yang kerap dibaiki dan ada yang melibatkan kes-kes kecurian kabel-kabel elektrik.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan agar pihak Jabatan Kerja Raya beralih kepada penggunaan tenaga solar bagi mengatasi masalah tersebut.

Sepanjang perkhidmatannya, infrastruktur jalanraya yang selesa dan selamat merupakan antara perkara yang sering menjadi perhatiannya.

Beliau kerap mengangkat perkara tersebut kepada perhatian pihak bertanggungjawab termasuk melalui mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kuantan.

Beliau seterusnya mengharapakan agar tindakan segera perlu diambil untuk pembaikan dan pemulihan demi keselamatan pengguna dan kelancaran trafik.