Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Segera selesaikan kes penduduk Paya Jaras

46 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA

SEGERA SELESAIKAN KES PENEMPATAN PENDUDUK PAYA JARAS HILIR

26 September 2019 bersamaan 26 Muharram 1441

INSIDEN  perobohan penempatan penduduk Paya Jaras Hilir telah masuk hari kelapan sejak projek itu dilakukan tanpa sebarang pemakluman kepada penduduk pada 18 September lalu. Lebih mendukacitakan, perobohan penempatan tersebut dijalankan ketika negara dilanda jerebu hingga mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) sangat prihatin terhadap keadaan wanita, kanak-kanak, warga emas dan sebagainya yang memerlukan barang-barang peribadi bagi kegunaan mereka termasuklah keperluan beribadat dengan selesa.

Kezaliman perobohan penempatan tersebut dengan tujuan pelebaran Sungai Kedondong perlu dihentikan sementara. Malah, ADUN Paya Jaras seharusnya bertanggungjawab menunaikan janjinya dengan mengambil tindakan menangguhkan projek tersebut sehingga perkara itu dipersetujui bersama oleh Jawatankuasa Penduduk dan menguruskan perkara ini dengan saluran demokrasi yang sewajarnya.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) turut menyeru agar sebarang spekulasi yang cuba ditimbulkan bagi menutup isu ini dan ingin memenuhi keperluan pihak tertentu perlu dihentikan serta-merta demi memastikan penduduk Paya Jaras Hilir mendapat hak penempatan mereka.

Di kesempatan ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera PAS seluruhnya terutama dari PAS Kawasan Sungai Buloh, Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Buloh, Jabatan Amal Malaysia, Briged Malaysia dan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang terlibat dalam membantu meringankan beban yang dihadapi oleh penduduk Paya Jaras Hilir.

Tahniah diucapkan juga kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir yang telah berjaya membawa isu ini ke pihak yang berkenaan.

Sekian, terima kasih.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Ahli Dewan Negara