Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

SAYNO2ZINA : Usaha Terbaik Pelihara Maruah Wanita

1868
SHARE

SAYNO2ZINA : Usaha Terbaik Pelihara Maruah Wanita

1. Muslimat PAS menyokong penuh inisiatif pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah menjalankan kempen “SayNo2Zina” sebagai usaha menangani masalah sosial hingga boleh membawa implikasi negatif dalam masyarakat.

2. Islam telah menggariskan panduan dalam perhubungan lelaki dan wanita yang dapat difahami melalui ayat “Dan janganlah kamu hampiri zina” [Surah al-Isra’ : 32]. Kempen ini sememangnya saalah satu jalan untuk mencegah perlakuan seksual sebelum berkahwin.

3. Statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan purata 4,000 orang remaja di bawah umur 18 tahun hamil di Malaysia setiap tahun. Bermula tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 79,302 kes remaja perempuan hamil di bawah umur 18 tahun.

4. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan sejumlah 911 bayi dibuang dari tahun 2010 hingga Ogos 2018 di mana 585 bayi dijumpai tidak bernyawa. Tentunya angka-angka ini begitu membimbangkan memandangkan bilangannya yang bertambah saban tahun.

5. Pembentukan generasi muda amat penting dalam mencerminkan modal insan dan pembangunan sosial negara kelak. Selain itu, gejala zina ini turut meningkatkan risiko jangkitan penyakit kelamin seperti HIV, sifilis, gonorrhea dan lain-lain.

6. Malangnya usaha menegah perlakuan zina ini mendapat tentangan dari NGO seperti Program Woman Center for Change (CCC) Penang serta Asia Pasific Resource and Research Center for Women (Arrow) seperti yang dilaporkan akhbar. Hujah yang dibawakan terhadap mesej #jagadiri dan #stayabstinence dikatakan bersifat moral, menghukum serta menggunakan pendekatan konservatif.

7. Kami turut menegaskan bahawa penentangan oleh pihak tertentu terhadap kempen SayNo2Zina adalah dangkal dan jelik. Sepatutnya permasalahan sosial yang berlaku kini ditangani dari peringkat akar umbi yang akhirnya membawa kembali kepada nilai moral dan penjagaan hubungan lelaki serta wanita.

8. Akhir sekali, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang budaya dan agama untuk turut sama menyokong kempen SayNo2Zina ini sebagai salah satu usaha menangani isu gejala sosial yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat.

“Islam Memimpin”
“Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan”

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
26 Januari 2019 bersamaan 20 Jamadil Awal 1440