Home Berita PAS Wilayah

Santuni miskin bandar dengan inisiatif bervariasi

Oleh Dhiya’ Muttmainnah

48
SHARE

BATU, 26 Mac: Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang terbaru menunjukkan keluarga berpendapatan RM 2,208 dan ke bawah sebulan sudah dikategorikan sebagai miskin bandar.

Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Mohd Salleh telah menyampaikan maklumat tersebut ketika berucap di Muktamar Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan kali ke-40 pagi ini.

“Kita dikejutkan lagi dengan dapatan pada tahun 2021 yang menganggarkan 30,000 buah keluarga daripada 1.8 juta penduduk di ibu negara memiliki pendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, golongan miskin bandar hari ini bukan hanya boleh dibantu dengan pemberian bantuan berbentuk bakul makanan semata.

“Program pembangunan usahawan wanita, latihan kemahiran, bantuan perniagaan anak muda dan pelbagai inisiatif lain yang berkaitan wajar dirangka oleh Lajnah Pembangunan Wanita dan Lajnah Ekonomi sebagai usaha menambah baik taraf kehidupan golongan miskin bandar ini,” tambah beliau.

Sehubungan itu beliau turut berkongsi Penyata Rasmi Parlimen pernah merekodkan jawapan daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras pada 7 Mac 2022 tentang jurang pendapatan dan kemiskinan di bandar dan luar bandar bahawa antara golongan yang terkesan teruk semasa pandemik ialah ketua-ketua isi rumah yang terdiri daripada golongan wanita dan ibu tunggal.

“Malah, melalui program menangani miskin tegar di beberapa kawasan dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga menunjukkan bilangan isi rumah yang diketuai oleh wanita adalah tinggi,” jelas beliau.

Beliau memandang serius hal ini dan menyeru agar semua Muslimat PAS selaku anggota masyarakat di Wilayah Persekutuan ini memainkan peranan yang semampunya agar golongan yang memerlukan dapat dibantu.