Home Berita PAS Kedah

Sambutan Tahun Baru Cina Negeri Kedah: Agenda kesejahteraan tanpa mengira kaum

226
SHARE

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri meletakkan komitmen tinggi untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Kedah berjumlah 2.2 juta termasuklah lebih kurang 276,000 penduduk Tionghua tanpa meminggirkan mana-mana kaum, agama atau latar belakang.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Islam menegah diskriminasi warna kulit atau perkauman dan juga tidak memaksa dalam beragama.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2022 Peringkat Negeri Kedah bertempat di Dewan Seri Mentaloon, semalam.

“Jangan terpengaruh dengan mana-mana ekstremis yang cuba menghasut dan memecahkan perpaduan masyarakat demi kepentingan sendiri,” tegas Sanusi.

Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan tidak mengeluarkan lesen baharu premis judi di Kedah bukanlah tindakan yang ekstremis.

“Keputusan ini sama sekali tidak ada kaitan dengan sebarang fahaman yang melampau tetapi demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Kedah tanpa mengira kaum dan agama,” jelas beliau.

Tambah beliau, pada tahun ini kerajaan negeri yakin dapat mencapai lebih banyak kejayaan dengan menambah baik polisi sedia ada.

Hal ini lanjutan daripada prestasi Kedah yang membanggakan dengan mencatat pelaburan tertinggi dalam Malaysia iaitu sebanyak RM57.1 bilion dalam tempoh Januari hingga September pada tahun 2021.

“Pencapaian ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan ‘amat-amat dahsyat’ kerana dalam suasana ekonomi dunia jatuh akibat pandemik COVID-19, Kedah sebaliknya menongkah arus dengan rekod pelaburan yang begitu tinggi,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Dato’ Seri turut menyantuni dan menyampaikan sumbangan ‘Ang Pau’ kepada 70 wakil NGO Persatuan Cina di sekitar Kedah.

Sumber : Urus Setia Penerangan Darul Aman