Home Berita PAS Sabah

Sambutan Kemerdekaan PASTI Lahad Datu pupuk semangat cinta negara

108
SHARE

Oleh : Martina Tahil
2 September 2022

LAHAD DATU : Sambutan Kemerdekaan yang melibatkan enam PASTI telah berlangsung serentak di premis masing-masing Rabu lepas bagi pupuk semangat cinta negara.

Menurut Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Kanizam Kamis, maksud kemerdekaan sebenar adalah apabila kita memerdekakan diri dengan mengikut perintah Allah.

“PASTI mendidik anak-anak di awal usia mengenai ilmu agama seperti cara mendirikan solat, kita yang menghantar anak ke PASTI untuk belajar agama inshaAllah mendapat pahala, itulah kemerdekaan sebenar”, ujar beliau lagi.

“Adanya aktiviti sebegini yang dijalankan dapat memupuk semangat patriotik murid-murid cintakan negara. Tahniah kepada guru-guru dan ibu bapa yang menjayakan program seperti ini,” tambah Nizam.

Aktiviti utama yang dilakukan semua PASTI adalah berarak di sekitar kawasan premis masing-masing yang melibatkan murid-murid, ibu bapa dan guru-guru.

Nizam turut berterima kasih kepada pihak anggota Polis Trafik IPD kerana mengawal lalu lintas semasa perarakan berlangsung.

Beliau berharap akan ada perarakan seperti ini lagi pada sambutan maulidur rasul yang bakal tiba dibuat secara besar-besaran dan lebih meriah.

“Keterlibatan murid dan ibu bapa terhadap aktiviti yang dijalankan sangat memberangsangkan dan mendapat sambutan yang tinggi,” ujarnya lagi.

Antara aktiviti lain yang dilakukan di setiap PASTI adalah pakaian beragam, sajak, nyanyian lagu patriotik, basikal dan payung berhias, mewarna dan lain-lain.

Turut hadir, Jemaah Ibu bapa dan Guru (JIBG), mudir serta mudirah di setiap PASTI masing-masing bagi menyampaikan hadiah kepada pelajar yang menyertai acara yang dipertandingkan.