Home Berita PAS Terengganu

Perkasa Tarbiah Lahirkan ‘Pemuda Generasi Sejahtera’

135
SHARE

ALOR SETAR – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan memperkasakan tarbiah di semua peringkat kawasan dan cawangan bagi melahirkan ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ yang akan menjadi tunjang kekuatan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada kali ini.

Naib ketua Pemuda PAS Terengganu, Hamdi Harun berkata, ia juga bagi mempersiapkan pemuda yang mempunyai prinsip dan jelas fikrahnya untuk terus kekal bersama parti serta mampu mengalas segala ujian dan cabaran.

Ketua Pemuda PAS Malaysia menyampaikan ucaptama

“Setelah mendengar ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari beberapa tindakan akan kita lakukan untuk segera mempersiapkan seluruh kekuatan menyusun langkah mempertahan kemenangan di negeri Terengganu.

“Diantaranya ialah kita akan perkasakan usrah di semua peringkat yang akan kita laksanakan samada di peringkat negeri, Kawasan, Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun di setiap cawangan-cawangan yang akhirnya akan melahirkan seramai mungkin ‘nuqaba’ yang berupaya untuk memimpin anak muda ini agar terus berprinsip dan mempunyai keyakinan untuk mendidik anak-anak muda agar memiliki keperibadian yang baik mengikut ajaran Islam dan mampu menarik golongan anak muda yang lain untuk bersama dengan Jemaah ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri Muktamar DPPM Kali Ke-63 sebagai perwakilan, di Raia Hotel, di sini pada hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Lajnah Tarbiah itu berharap, agar segala agenda yang disusun dan dirancang itu nanti akan mampu mempertautkan ukhwah yang mantap sesama ahli.

“Besar harapan daripada Akademi Tarbiah DPPNT agar setiap DUN dan Ketua Dewan Pemuda di setiap Kawasan perlu memberikan penekanan berkaitan dengan pelaksanaan usrah ini nanti.

“Kerana ia menjadi tunjang serta rahsia kekuatan Jemaah yang menjadi rahsia kekuatan selama ini dalam melahirkan generasi sejahtera mengikut dasar yang dikehendaki oleh PAS kerana tanpa tarbiah sudah tentu kita akan rebah dan tidak berupaya untuk menghadapi segala cabaran, dugaan dan rintangan dalam menghadapi PRU Ke-15,”tegasnya.