Home Berita PAS Selangor

Sambutan hari guru, Islam agama ilmu – YDP PAS Puchong

75
SHARE

May be an image of 1 person, beard and indoor

Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Puchong

Oleh : Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saman
YDP PAS Kawasan Puchong

Rasulullah SAW merupakan Murabbi, Guru Teragung Islam adalah adalah yang mementingkan ilmu. Kerana itu, Rasulullah SAW adalah guru teragung bagi manusia. Baginda SAW pula “berguru” dengan Jibrail dalam menerima wahyu. Malahan Baginda SAW mendapat tarbiyah secara langsung dari Allah, Tuhan Yang Maha Agung, Menguasai sekalian alam.

Firman Allah SWT :

أَلَمۡ یَجِدۡكَ یَتِیمࣰا فَـَٔاوَىٰ * وَوَجَدَكَ ضَاۤلࣰّا فَهَدَىٰ * وَوَجَدَكَ عَاۤىِٕلࣰا فَأَغۡنَىٰ

Maksudnya :
Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? [Surah Ad-Dhuhaa 6 – 8]

Antara hikmah taqdir ke atas Rasulullah SAW yang kematian ayah dan ibu semenjak kecil serta hanya sementera mendapat perlindungan jagaan dari datuknya adalah membuktikan bahawa yang “menjaga”, “melindungi” dan mentarbiyah Baginda SAW adalag secara langsung dari Allah SWT, bukannya mana-mana makhluk.

Tugas asas seorang Rasul adalah mengajar manusia dan mendidik mengikut panduan wahyu Ilahi. Inilah yang disebutkan oleh Nabi Ibrahim di dalam doanya ketika bersama Nabi Ismail dalam menyiapkan binaan Kaabah.

Firman Allah SWT :

رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِیهِمۡ رَسُولࣰا مِّنۡهُمۡ یَتۡلُوا۟ عَلَیۡهِمۡ ءَایَـٰتِكَ وَیُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَیُزَكِّیهِمۡۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡحَكِیمُ

Maksudnya :
“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. [Surah Al-Baqarah 129]

Berdasarkan kepada ayat di atas, jelas bahawa tugas Rasul ialah :

1. Membacakan ayat ayat Allah.
2. Mengajarkan al-Kitab dan hikmah.
3. Membersih / menyucikan jiwa manusia.

“Ilmu Sejak Kelahiran Sehingga Saat Kematian”

Islam mementingkan ilmu sejak awal kelahiran lagi. Ini ditunjukkan menerusi sunnah bagi bapa yang menyambut kelahiran anaknya untuk melaungkan azan di telinga bayi kelahiran. Antara hikmahnya sunnah itu ialah :

1. Melindungi dari syaitan.
2. Mengajarkan kalimah “Allah” sebagai kalimah pertama bagi kehidupan bayi itu.

Begitu juga sewaktu seseorang yang berada di saat nazak, yang menghampiri kematian, di sunatkan dan sunnah bagi orang yang berhampirkan untuk mentalqinkan iaitu membisikkan lafaz لا إله إلا الله kepada orang tersebut.

Antaranya hikhmahnya ialah :

1. Menjauhi bisikan jahat syaitan dari mengganggu.
2. Menetapkan orang tersebut itu kekal dalam Islam sehingga sampainya ajal.

Hebatnya Islam, didikan sebegini dalam pembentukan aqidah seawal kelahiran serta penetapan keteguhan beraqidah menjelang kematian. Benarlah Islam agama ilmu.

Kata-kata dari Ibn Sirin :

إن هذا العلم دين، فانظروا عمن تأخذون دينكم.

Maksudnya :
Sesungguhnya ilmu ini merupakan agama. Maka perhatikanlah daripada siaoa kamu mengambil agama kamu.
“Jihad Ilmu Mengubah Manusia, Generasi Tamadun Terbaik”
Kehebatan Islam membina tamadun adalah dengan ilmu. Melahirkan generasi yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta taat kepada ajaran agama. Kegemilangan tamadun Islam yang dibina oleh Baginda SAW bukanlah dengan dikenalinya mercu tanda material sebagaimana tamadun dunia lain seperti Tamaduan China dengan Tembok Besar China, Tamadun Mesir Purba dengan piramid dan tamadun-tamadun lain.

Tamadun Islam dikenali dengan generasi agung yang mendapat tarbiyah Rasulullah SAW iaitu generasi sahabat. Generasi sahabat yang :

1. Sanggup berkorban demi Islam. Lihat bagaimana Sayiduna Abu Bakr menginfaqkan keseluruhan harta dalam perang Tabuk.
Kata Sayiduna Abu Bakr bila ditanya oleh Rasulullah SAW apa yang ditinggal kepada ahli kelurga :

الله ورسوله

Maksudnya :
(Aku tinggalkan pada mereka) Allah dan Rasul (sebagai tempat pergantungan).

2. Tidak gentar mati dalam jihad peperangan. Surat dari Khalid bin al-Walid kepada panglima Farsi dalam peperangan Zatul Salasil :

جئت بقوم يحبون الموت كما تحبون الحياة

Maksudnya :
Aku bersama kaum tentera yang mencintai kematian (syahid) sebagaimana kamu semua cintaikan kehidupan.

3. Saling berkasih sayang demi Islam sehingga sanggup mendahulukan kepentingan akan saudara segamanya berbanding dirinya. Ini antara sikap yang boleh dilihat pada kaum Ansar.

Firman Allah SWT :

(وَٱلَّذِینَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِیمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ یُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَیۡهِمۡ وَلَا یَجِدُونَ فِی صُدُورِهِمۡ حَاجَةࣰ مِّمَّاۤ أُوتُوا۟ وَیُؤۡثِرُونَ عَلَىٰۤ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةࣱۚ وَمَن یُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ)

Maksudnya :
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. [Surah Al-Hashr 9]

Ketiga-tiga ciri ini tidak ada melainkan hanya pada generasi Islam yang ditarbiyah oleh Rasulullah SAW. Inilah peninggalan generasi dalam meneruskan tamadun Islam yang dibina oleh Baginda SAW. Menjadikan Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor