Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Salam Takziah Kak Nuri Sayang

962
SHARE

Salam Takziah Kak Nuri Sayang

Beberapa hari dalam seminggu dua ini, Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh diuji dengan kesihatan ibu tersayang yang terlantar di Hospital Selayang.

Hari ini selepas Asar dikhabarkan ibu tercinta beliau, Azam binti Haji Yahya telah kembali ke rahmatullah ketika sedang dalam perjalanan untuk dibawa ke Hospital Kuantan. Namun Allah lebih Mengetahui segalanya, sudah ditetapkan dalam ilmu-Nya di mana, bila dan bagaimana keadaan kematian hamba-Nya. Kita hanya merancang, Allah SWT juga Yang Maha Menentukan.

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh kepimpinan DMPM menyampaikan ucapan Salam Takziah buat Kak Nuri sekeluarga atas khabar duka ini. Sudah pasti kehilangan ini amat terasa dan memberikan kesan mendalam kerana ibu lah segala-galanya bagi seorang anak; kasih ibu membawa ke Syurga.

InsyaAllah semoga ibunda Kak Nuri ditempatkan bersama orang-orang soleh, para nabi dan wali Allah serta mereka yang dikasihi-Nya. Suatu hari nanti, semoga kita semua kembali berkumpul bersama keluarga tersayang masing-masing.

Kepada mereka yang masih mempunyai ibu ayah, gunakan masa ini sebaiknya untuk berbakti dan membuat kebaikan sebagai usaha membalas jasa dan pengorbanan mereka yang telah bersusah-payah semenjak kita lahir ke dunia hingga sekarang. Ingatlah selalu, “redha Allah terletak pada redha ibu bapa”.

Dr. Rosni binti Adam
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
19 November 2020 bersamaan 3 Rabiulakhir 1442