Salam Muharam 1442H.
Hijrah Membentuk Minda Positif
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang sebenar-benar hijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh ALLAH (daripada melakukannya).” (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan al-Nasaie)
Pandemik Covid 19, antara terkandung hikmah yang Allah sediakan untuk hambanya renung dan fikir. Saling kebergantungan antara satu sama lain untuk membanteras wabak ini sangat diperlukan. Begitu juga dengan hijrah (perubahan diri) seseorang sangat perlu dalam setiap aspek.
Hijrah dalam membina perpaduan dalam komuniti dan negara penting bagi memastikan suasana harmoni dapat dinikmati oleh semua rakyat berbilang kaum, serta suasana aman dan damai dalam hidup bermasyakarat.
Hijrah dalam membina akhlak nilai murni perlu sentiasa dititik beratkan oleh semua pihak terutama pendidikan tidak formal bermula di rumah dan seterusnya pendidikan formal di sekolah. Selain itu, sikap dan mentaliti individu dan seluruh masyarakat perlu sentiasa positif dan saling tegur menegur jika berlaku kesilapan. Teguran berhikmah dan raikan segala pandangan berbeza dengan menyantuni pelbagai golongan umur.
Hal demikian, Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin sama-sama mengajak dan menyeru agar sempena tahun baru kalendar Islam ini, kita rakyat Malaysia dapat bersama membentuk minda positif dalam segala aspek kehidupan. Tinggalkan zaman silam, jahiliyah dan hindarkan segala sengketa. Bina langkah baru dengan jiwa murni dan semangat yang tinggi untuk melangkah menuju kejayaan demi kejayaan.
Sejarah telah melakarkan bagaimana Rasulullah SAW menanamkan semangat ukhuwah, tolong menolong, pengorbanan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah elemen terpenting bagi umat Islam dalam membentuk kekuatan di dalam sebuah organisasi.
Akhir kata, saya dan seluruh Saf Kepimpinan mengucapkan Salam Maal Hijrah 1442 kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Semoga semangat Hijrah mampu memacu kekuatan ukhuwah di antara kita.
#Islammemimpinperpaduan.
#IslammemimpinWanitasejahtera.
YB Senator Ustazah Nuridah bt Mohd Salleh,
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia,
1 Muharram 1442
20 Ogos 2020