Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Salam Aidiladha 1441H: Memaknakan Hari Raya Dalam Norma Baharu

896
SHARE

Salam Aidiladha 1441H: Memaknakan Hari Raya Dalam Norma Baharu

Dengan penuh kesyukuran, Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Korban (Aidiladha) 1441H kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya.

Aidiladha adalah salah satu daripada hari raya bagi umat Islam dan mengandungi banyak kelebihan. Oleh itu, ia perlulah disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Menyingkap sirah Rasulullah SAW, ketika Baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua hari raya. Maka Rasulullah SAW telah bersabda,

فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ

Maksudnya : ”Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad (12362))

Allah telah mengurniakan kepada umat-Nya dua hari kebesaran ini untuk kita syukuri serta memohon kemaafan antara satu sama lain.

Selain itu, umat Islam juga mengiktiraf ibrah besar Hari Raya Korban (Aidiladha) iaitu pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan keluarganya sebagai tanda taat dan patuh Baginda sekeluarga kepada Allah sekaligus bukti cinta sebenar seorang hamba kepada Tuhannya.

Justeru itu, marilah sama-sama kita menghayati pengorbanan ini dan mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dengan melaksanakan amal ibadah yang penuh keikhlasan hanya kepadaNya.

Akhir sekali, dalam keseronokan kita meraikan Hari Raya Aidiladha, pastikan kita tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi keselamatan bersama, insyaAllah.

Salam Aidiladha buat semua.

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
10 Zulhijjah 1441H
30 Julai 2020