Alhamdulillah, hari ini kita telah pun berada di dalam bulan Zulhijjah, bulan terakhir bagi taqwim umat Islam. Zulhijjah adalah antara bulan yang sangat bererti kepada umat Islam kerana setiap tahun ,umat Islam akan menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan Fardhu Haji ke Mekah. Umat Islam yang tidak menunaikan haji akan bersama-sama menyambut Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban disamping amalan-amalan sunat seperti Puasa Hari Arafah, Solat Sunat Aidiladha, bertakbir dari selepas Subuh 9 Zulhijjah hinggalah Asar 13hb Zulhijjah.
Pada tahun ini, jumlah umat Islam yang dapat menunaikan fardhu haji sangat lah berkurangan akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Begitulah ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah swt. Seluruh umat Islam perlu mengadaptasikan diri dengan norma baru.
Biarpun begitu, penghayatan kepada perayaan Adiladha mestilah juga diselami dengan sentiasa menginsafi diri bahawa setiap kejayaan yang ingin dikecapi mestilah didahului dengan pengorbanan dan kesungguhan yang tinggi. Segala perbuatan manasik haji mempunyai maksud yang tersirat yang perlu kita fahami. Pengorbanan dan ketaatan Siti Hajar untuk sanggup ditinggalkan di tengah padang pasir yang kering kontang bersama bayinya Ismail AS wajar diambil iktibar oleh para muslimat khususnya.
Dewan Muslimat PAS Negeri Perak mengajak seluruh umat Islam untuk meningkatkan amalan kebaikan, meneruskan kerja-kerja dakwah, pendidikan, ekonomi dan politik agar umat Islam terus menjadi umat yang dihormati di negara ini.
Raikanlah Aidiladha dengan penuh keinsafan dan kuatkan iltizam untuk sanggup berkorban demi mengangkat Islam ke tempat yang sebenar.
Firman Allah SWT:
وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ ِ .
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. (Al Hajj : 78)
Semoga segala amalan kita di dunia ini akan menjadi saksi apabila kita berhadapan dengan Allah SWT di negeri abadi.
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha 1441H
“Islam Memimpin Perpaduan”
”Islam Memimpin Wanita Sejahtera”
Daripada:
Dr Najihatussalehah bt Ahmad
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
30 Julai 2020 | 9 Zulhijjah 1441H