Home Berita PAS Melaka

Sabar dan jangan cepat melatah – YDP PAS Alor Gajah

562
SHARE

Oleh AL-ANSARI

ALOR GAJAH, 29 Mac : “Setiap daripada ahli PAS mestilah sentiasa bersabar dan jangan cepat melatah dengan tindakan sahabat mahupun musuh supaya kita sentiasa berada di landasan sebenar menuju ke arah perpaduan ummah yang sedang diusahakan.

“Kadang kala kita berasa marah dengan tindakan beberapa pihak, namun kita perlu bersabar takut nanti tindakan kita akan memburukkan lagi keadaan.

“Rasullullah juga berhadapan dengan pelbagai cabaran demi membina kesatuan Islam antara kumpulan Muhajirin dan golongan Ansar terdiri daripada suku Aus dan Khazraj.

“Mereka akhirnya bersatu bersama Islam sehingga berkuasa dalam masyarakat majmuk yang ada juga bukan Islam daripada kabilah-kabilah Yahudi dan Musyrikin Arab serta kalangan Munafiqin, di samping selepasnya datang pula kaum Najran yang menganut Kristian”.

Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin berkata demikian ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) petang semalam.

Tambah Ustaz Syahbudin lagi, dalam keadaan sekarang, musuh sedang cuba sedaya upaya untuk meruntuhkan perpaduan ummah kerana mereka tahu apabila kita bersatu Islam akan mendapat manfaat yang sangat besar.

Tegas Ustaz Syahbudin, kesatuan umat Islam dan perpecahan kalangan bukan Islam menjadikan Islam memimpin negara yang berdaulat berdasarkan akidah Islam dan konsep hukumnya yang adil terhadap semua.

“Para jentera parti mestilah sentiasa fokus kepada gerak kerja jemaah termasuk berusaha membawa pendekatan islah dalam menyatukan tiga serangkai utama parti Melayu/Pribumi iaitu Umno, Bersatu dan PAS dan menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah.

“Pada masa yang sama adalah sangat wajar semua pihak memberikan perhatian bagi menyokong langkah-langkah kerajaan dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat serta memerangi wabak Covid-19,” kata Ustaz Syahbudin.