*Rupanya kawan PH saya beri info salah & berat sebelah tentang PAS – Pengundi
BATU, 12 April – Sambutan penduduk Taman Dato’ Senu terhadap kunjungan YDP PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya yang bersarapan bersama masyarakat di situ pagi tadi menunjukkan betapa orang awam kini benar-benar mengharapkan PAS untuk melakukan perubahan.
Pemandu kereta dan penunggang motorsikal yang melalui jalan itu ada yang sanggup memberhentikan kenderaan masing-masing bagi mendapatkan bahan edaran yang diagihkan oleh petugas PAS di tepi jalan tersebut dan mendengar ucapan ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Azhar.
Dalam kesempatan itu juga, PAS Batu sempat mengadakan sesi ramah mesra santai dengan hadirin yang hadir di situ. Seorang penduduk tempatan yang bangun mempersoalkan tentang pendirian dan sikap PAS, memulakan dengan melabel PAS sebagai parti pasu bunga kerana berkecuali dalam isu Bajet 2018.
Ustaz Azhar dalam jawapan beliau menepis label itu menjelaskan, “Dalam isu persempadanan semula, PAS dan PH kedua-duanya menentang BN. Manakala dalam isu Akta 164, PAS bersendirian membangkang sebaliknya PH bersekutu dengan BN menyokong RUU itu. Kenapa dalam keadaan itu tidak timbul pula isu PH parti pasu bunga?”. Jawapan ringkas yang diberikan Ustaz Azhar itu disambut dengan tepukan gemuruh diiringi dengan laungan takbir oleh audien.
Lelaki itu tadi kemudiannya bangun sekali lagi menjelaskan bahawa rupanya beliau diberikan info yang salah dan berat sebelah selama ini tentang PAS oleh kawan-kawannya dalam kalangan PH. Dia turut mengucapkan terima kasih dan menyatakan sokongannya kepada PAS.
Mengakhiri sesi bersahaja itu Ustaz Azhar menegaskan, “PAS, menyokong atau membangkang sesuatu perkara adalah berdasarkan prinsip. Bukan tengok siapa atau parti mana, tapi tengok pada sejauh mana isu itu sendiri menguntungkan rakyat dan negara serta selari dengan ajaran Islam”.