Home Kenyataan Media Presiden PAS

Surat Presiden PAS Kepada Pengundi PRU-14

988 views
SHARE

Klik untuk muat turun dalam bentuk PDF
SURAT PRESIDEN PAS KEPADA PENGUNDI PRU 14

1SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari mengundi awal pada 5 Mei 2018 dan hari mengundi pada 9 Mei 2018. Mengundi adalah kewajipan bagi rakyat Malaysia yang menjadi salah satu urusan agama dalam Islam. Tanggungjawab memilih pemimpin dapat dilihat melalui Peristiwa Thaqifah Bani Saidah apabila para sahabat meninggalkan majlis pengebumian jasad Rasulullah S.A.W semata-mata menghadiri perhimpunan memilih khalifah.

2. Islam menggariskan dalam Al-Quran tentang sifat-sifat seorang pemimpin iaitu Al-Qawiy (kompetensi) dan Al-Amin (amanah). Namun, masalah utama negara kita berdepan dengan pemimpin rasuah. Perkara ini didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa 71 orang pemimpin Barisan Nasional (BN) disiasat oleh SPRM dan 21 orang daripada Pakatan Harapan (PH).

3. Alhamdulillah PAS kosong, tiada seorang pun disiasat atas salah laku rasuah walaupun PAS memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam keadaan disekat peruntukan oleh Kerajaan Pusat. PAS pernah juga menyertai kerajaan yang dipimpin DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor serta mengetuai Kerajaan Perak. Terbukti betapa bersihnya pemimpin PAS.

4. Inilah tawaran PAS kepada rakyat yang tidak mampu ditunaikan oleh parti politik lain kerana PAS berdasarkan kepada aqidah Islam, tidak memisahkan politik dan agama, dan percaya kepada Hari Akhirat yang ada perkiraan dosa pahala. Sebenarnya masih banyak perkara yang boleh diberikan peluang kepada PAS untuk menjadi bukti bahawa Islam boleh menyelesaikan masalah yang telah gagal diurus oleh semua ideologi dan teori ciptaan manusia, jika PAS diberi lebih kebebasan berkuasa.

5. Malaysia bukan negara tiada hasil tetapi masalahnya banyak kebocoran dan ketirisan sehingga rakyat terpaksa menanggung bebanan seperti kenaikan kos sara hidup, pelaksanaan GST dan pengangguran.

6. Di Malaysia, Melayu adalah kaum dominan. Maka kepimpinan utama negara semestinya dilantik daripada kaum bumiputera Melayu Islam yang beriman, budiman dan adil untuk semua, bersama kaum bukan Islam juga dilantik sebagai menteri kabinet atau exco kerajaan negeri.

7. Rakyat perlu menolak parti-parti yang cauvinis dan oportunis yang tidak menghormati Islam sebagai agama persekutuan sehingga berani menentang PAS dalam segala usahanya bagi melaksanakan Islam, walaupun dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan penganut bukan Islam. Mereka juga mengambil kalangan penganut Islam yang sanggup menjadi topeng atau bersedia diperalatkan. Umat Islam tidak sepatutnya dipermainkan sehingga dinafikan hak mengamalkan ajaran Islam seluruhnya, sedangkan penganut agama lain berhak beramal agama mereka dengan bebas.

8. PAS tidak boleh bersama BN mahupun PH dalam PRU 14. Kalau masuk BN seumpama memikul biawak hidup kerana PAS pernah menyertainya dahulu. Sekarang BN memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakit, serta masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat PAS. PAS tidak boleh bersama kerajaan yang dituduh sehinggalah dibuktikan bersih atau bersalah.

9. PAS tidak boleh menyertai PH kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya. Di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka, bersembunyi atau oportunis. DAP berani mencampuri perkara berkaitan Islam seperti RUU 355 yang tiada kaitan pun dengan kalangan bukan Islam. Di dalamnya juga ada para pemimpin yang dahulu bersekongkol dengan punca masalah negara dan dikenakan tuduhan sama bertali arus.

10. Selain itu, memandangkan tarikh pengundian pada hari Rabu, semua pengundi khususnya di perantauan semestinya berusaha untuk balik mengundi walaupun menghadapi pelbagai halangan, ujian dan kesukaran kerana tiada lagi tanggungjawab paling penting sebagai seorang rakyat melainkan menentukan kepimpinan negara.

11. Akhir sekali, saya menyeru dan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa supaya memberi peluang kepada PAS berkuasa dan memerintah dengan tawaran penyelesaian Islam yang adil untuk semua bagi mewujudkan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. PAS akan mengemukakan pelbagai latarbelakang calon yang berkaliber dan bersih rasuah untuk memimpin dan mentadbir negeri dan negara.

Sekian, terima kasih.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Rejab 1439 / 13 April 2018