Home Artikel PAS Perak

“RM80 TAK BANYAK, TAPI CUKUP UNTUK KAMI,” – Penerima sumbangan Back To School 3.0

440
SHARE
“RM80 TAK BANYAK, TAPI CUKUP UNTUK KAMI,” – Penerima sumbangan Back To School 3.0
SEMANGGOL, 20 Nov 2020 – “Terima Kasih lah, walaupun ada yang beranggapan pemberian ini tidak seberapa, tapi buat kami penduduk pinggir dan luar bandar, kami sangat-sangat bersyukur,” ujar ibu kepada penerima sumbangan “Back To School 3.0”, Watie Arbae di sini hari ini.
Ibu kepada tiga anak itu turut meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri meringankan beban ibu bapa dan penjaga pelajar terutamanya dalam tempoh sukar ini.
Tambahnya, gelombang Covid-19 kali ini turut memberi impak besar kepada kesemua rakyat, tidak kira pekerja kerajaan mahupun swasta.
“Ada yang dah diberhentikan kerja, ada pula pendapatan tidak menentu buat masa sekarang jadi, harapnya, bantuan seperti ini dapat diteruskan,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima sumbangan.
Dalam pada itu, jelas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria, setakat ini 300 penerima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol telah mendapat baucer RM80.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, kesemua penerima adalah terdiri daripada golongan atau datang daripada keluarga asnaf dan golongan B40.
Menerusi program tersebut, penerima boleh membeli set kelengkapan persekolahan termasuk beg, pakaian seragam, kasut dan stokin.
“Kerajaan negeri telah peruntukkan RM100 ribu untuk diagihkan ke pusat-pusat khidmat bagi program ini.
“Memandangkan sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), agak sukar bagi mereka untuk keluar membeli kelengkapan persekolahan, jadi kita bawa pengedar kelengkapan ke sini bagi memudahkan penerima,” tambahnya.
Program “Back To School” merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu golongan memerlukan membeli kelengkapan persekolahan yang telah dianjurkan buat kali ketiga pada tahun ini.
Summber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]