Home Berita PAS Melaka

RM78 juta berjaya dikutip untuk kelulusan tambakan laut – KM Melaka

49
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 22 Sept : Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali berkata untuk tahun 2021 sahaja sebanyak RM78 juta hasil daripada kelulusan tambakan laut telah diterìma setelah penubuhan Koridor Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

“Jumlah ini dapat membantu Kerajaan Negeri untuk menampung kekurangan hasil lain akibat kemerosotan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19,” ujar beliau di dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Menurut Ketua Menteri Melaka itu, keseluruhan pelaksanaan projek tambakan laut itu adalah secara Private Finance Initiative atau PFI, yakni Inisiatif Pembiayaan Swasta.

“Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan untuk pelaksanaan projek tambak laut tersebut.

“Malahan, syarikat-syarikat konsesi yang telah diluluskan dikehendaki membayar hampir RM13 juta untuk setiap 100 ekar kawasan tambakan yang diluluskan selain menyerahkan 1/5 daripada kawasan yang telah ditambak kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang Rang undang-undang penubuhan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) yang telah diluluskan oleh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini selepas perbahasan.

“Saya amat yakin dengan salah satu peranan agensi Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka iaitu untuk memantau dan memastikan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan tambak laut akan dapat mengurangkan kegagalan pelaksanaan projek seperti yang berlaku di beberapa kawasan sebelum ini,” ujar beliau di dalam hantaran itu.

Dalam persidangan DUN hari ini, seramai 16 ADUN menyokong dan 11 tidak menyokong rang undang-undang tersebut melalui undian dengan mengangkat tangan di dalam DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi, manakala seorang ADUN lagi tidak hadir.

Untuk rekod Koridor Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka ini secara rasminya dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 8 April lepas di hadapan kira-kira 500 jemputan kenamaan termasuk para pelabur dari dalam dan luar negara di Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.