Home Berita PAS Pahang

RM10,000 untuk penerima pertama SkimPAS Pekan

380
SHARE

Oleh: ZAITON ABDUL HALIM

PEKAN, 24 Jan :: Skim Kifalah Ahli PAS (SKIMPAS) Kawasan Pekan telah menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga arwah Noriyana Samsudin yang meninggal akibat komplikasi jangkitan bakteria September lalu.

Waris, Nurul Farhana Idrus yang merupakan penerima pertama SkimPAS Kawasan Pekan, telah menerima replika cek bernilai RM10,000 dalam majlis ringkas yang berlangsung di kediaman Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf, di sini kelmarin.

Serahan replika tersebut telah disampaikan sendiri oleh Ustaz Abu Kassim disaksikan bersama Perunding SkimPAS Kawasan Pekan, Dr Harison Mohd Amin.

Nurul Farhana pada mulanya kurang yakin dengan SkimPAS ini, namun tetap mencuba setelah akur kepada permintaan arwah ibunya untuk mencarum dalam skim tersebut.

Kini beliau lima beradik memperoleh manfaat daripada usaha arwah ibunya yang mencarum sebanyak RM55 setahun sejak Mei, 2021.

“Alhamdulillah, sekarang ni dengan izin Allah, saya bersyukur Allah permudahkan semuanya dan urusan untuk membuat tuntutan caruman ini dipermudahkan,” luah beliau penuh kelegaan.

Skim Khairat Kematian dan Perlindungan Kemalangan di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat bukan hanya dapat meringankan bebanan keluarga si mati tetapi turut memberi manfaat kepada PAS Pusat dan PAS Kawasan.

“SkimPAS ini bukan saja memberi manfaat kepada keluarga si mati tetapi juga untuk kebajikan PAS Pusat dan PAS Kawasan Pekan kerana di sana ada peruntukan yang disumbangkan kepada PAS Pusat dan PAS Kawasan Pekan untuk jalankan aktiviti kebajikan sepanjang tahun,” jelas Ustaz Abu Kassim.