Home Berita PAS Perak

PAS Teluk Intan hantar sumbangan ke Hulu Langat

43
SHARE

Oleh: Siti Aseelah Mohd Noor

TELUK INTAN, Tragedi hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir besar menimpa beberapa kawasan di Selangor, Pahang, Johor dan beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian PAS Teluk Intan.

Sejumlah lebih RM3,000 berjaya dikutip di kalangan ahli dan penyokong PAS bagi disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di sana.

Rombongan yang diketuai Timbalan Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Rostam Malek, bertolak dengan 5 buah kenderaan pacuan empat roda pada sekitar jam 7 pagi, kelmarin.

Naib Ketua Pemuda Hulu Langat, Muhammad Farhan Hizami Said
berbesar hati menerima kehadiran seramai 15 orang jawatankuasa Pas Teluk Intan termasuk Jabatan Amal dengan membawa barangan sumbangan berupa hamparan ‘toto’ dan dapur memasak dengan bernilai kira-kira RM8,000.

“Kami benar-benar insaf setelah melihat sendiri keadaan persekitaran rumah dan kampung yang dilanda banjir. Segala yang terjadi adalah ketentuan Allah kerana semua yang kita miliki hanya pinjaman,” ujar Rostam Malek ketika menyerahkan bantuan.

Sebelum berangkat pulang, rombongan sempat menziarahi sebuah rumah pusaka berusia 50 tahun yang didiami Rohana Mahfuz,75 di Batu 18, Kampung Jawa yang hanya tinggal tangga batu akibat banjir.

Selain bertanya khabar, sedikit sumbangan telah diserahkan tanda keprihatinan dan simpati terhadap beliau.

Turut serta dalam misi serahan bantuan, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Teluk Intan, Mohamad Lotfi Samsudin , Pengerusi Lajnah Kesihatan Dr Ahmad Ramadhan Daud, Pengerusi Khidmat Malaysia Teluk Intan Hafiz Fadhil dan beberapa AJK PAS Teluk Intan.