Home Berita PAS Melaka

Ribut Melaka | “Ibu, bumbung dah tiada”

170
SHARE
Ummi Kalsum bersama suaminya Arifin

Oleh IBNU JANIE
Foto LURIMA

TANGGA BATU, 23 Feb: “Ibu, bumbung dah tiada,” itu yang dikatakan anak kepada Ummi Kalsum Kamarudin kepadanya semasa kejadian ribut yang menerbangkan hampir 80 peratus bumbung rumahnya yang berlaku pada petang Isnin lepas.

Menurut beliau, semasa kejadian itu berlaku, beliau berada di dapur rumahnya sementara suaminya, Arifin Ibrahim, 39, sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Masa tu saya dengar bunyi angin kuat. Anak saya datang mendapatkan saya dan cakap ‘ibu, bumbung dah tiada’.

“Saya cakap ‘tak apa, tak apa’. Tak sangka pula teruk macam ni. Lepas tu terus kami pindah ke hadapan, ke rumah nenek,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, ramai penduduk yang sempat melihat kejadian itu mendakwa bahawa ribut yang melanda itu sebenarnya puting beliung.

“Ada yang kata sebenarnya puting beliung. Makcik saya nampak puting beliung tu. Dia kata dia buka tingkap nampak puting beliung,” ujarnya lagi.

Tambah Ummi, 41, beliau tetap reda di sebalik kejadian yang menimpa rumah yang dibina sendiri oleh suaminya dan diduduki sejak 10 tahun lepas semasa mereka baru mendirikan rumah tangga.

“Kami reda, insya-Allah. Baru-baru ini pun kawan-kawan saya, adik saya, rumah mereka kena banjir teruk.

“Jadi bila jadi macam ni kita fikir ada orang pernah kena musibah lebih teruk. Tak apalah. Paling saya bersyukur anak-anak semua selamat,” ujarnya tenang.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) Berita PAS di rumah beliau di Kampung Belimbing Dalam semasa program ziarah oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM).

Dalam program ziarah ini beliau telah menerima sumbangan daripada BPPNM yang telah disampaikan oleh Pesuruhjayanya, Tuan Guru Zulkifli Ismail,

Program ziarah ini telah berlangsung di Kampung Belimbing Dalam, Parlimen Alor Gajah dan Kampung Tanah Merah, Krubong dalam Parlimen Tangga Batu.

Turut serta dalam ziarah ini ialah Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Pengerusi Khidmat Malaysia (KM) Melaka, Muhamat Puhat Bedol, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad bersama-sama dengan beberapa orang lagi pimpinan PAS tempatan.

Hujan lebat berserta ribut yang berlaku pada petang Isnin lepas telah merosakkan banyak rumah di beberapa tempat dalam Negeri Melaka.