Home Berita PAS Perlis

Ribut Di Perlis: JAM Perlis Turut Serta Bantu Masyarakat

940
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Meskipun isu pakaian seragam Jabatan Amal Malaysia hangat diperkatakan, perkara berkenaan tidak menghalang organisasi tersebut daripada terus melaksanakan peranannya dalam membantu masyarakat.

Terbaru, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Perlis telah turut serta dalam kerja-kerja pengurusan bencana di negeri ini yang dilanda ribut kencang pada malam semalam.

Seramai 20 orang anggotanya yang baru sahaja pulang setelah menyempurnakan tugasan mereka di Muktamar Tahunan PAS Kali ke 64 yang berlangsung di Kuala Terengganu, telah digerakkan bagi membantu kerja-kerja pengurusan bencara bersama-sama dengan agensi-agensi lain sepanjang malam tadi.

Meskipun keletihan akibat jadual tugasan yang padat sepanjang berlangsungnya muktamar ditambah dengan faktor masa perjalanan yang sangat panjang, para anggota JAM Negeri Perlis tetap cekal melaksanakan tugas secara sukarela di kawasan-kawasan yang teruk terjejas.

JAM Perlis Turut Sumbang Vest Kepada Anggota Keselamatan

Menurut Pengarah JAM Negeri Perlis, Amirul Jufri Mat Saman, antara tugasan yang dilaksanakan pihaknya adalah menebang dan membersihkan pokok-pokok tumbang yang menghalang laluan serta membantu mengawal lalulintas semasa ribut sedang melanda.

“Kami sebenarnya baru sahaja tiba daripada Kuala Terengganu namun sebaik saja menerima panggilan kecemasan, anggota kami tetap cekal untuk meneruskan khidmat mereka kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, di sekitar kawasan Kangar dan Arau, JAM Negeri Perlis bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan yang lain, telah berjaya menyelesaikan tugasan mengalihkan halangan pokok-pokok yang tumbang di beberapa laluan utama.

“Kita juga turut menghulurkan bantuan vest pantul cahaya kepada para anggota keselamatan yang turut bertugas sepanjang malam tadi,” ujarnya ketika dihubungi di sini pagi ini.