Home Berita PAS Perlis

PAS Perlis Rakam Takziah, Gesa Bantuan Segera Kepada Mangsa Ribut

1219
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

 

KANGAR : PAS Negeri Perlis merakamkan ucapan takziah kepada kesemua mangsa ribut kencang yang melanda di keseluruhan kawasan di negeri sepanjang malam tadi.

Pesuruhjayanya yang juga ADUN Sanglang, YB Mohd. Shukri Ramli berkata, kejadian ribut semalam merupakan kejadian paling dahsyat pernah melanda negeri ini berdasarkan kepada bilangan kerosakan harta serta kehilangan nyawa yang direkodkan.

“Kita merakamkan ucapan takziah serta berharap agar kesemua mangsa yang terjejas akibat ribut malam tadi dapat bersabar dan redha dengan dugaan daripada Allah S.W.T.

“Di pihak kita, Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis turut sama membantu dalam kerja-kerja mengalihkan pokok-pokok yang tumbang di beberapa kawasan di sekitar bandar ini.

“Justeru, PAS Negeri Perlis menggesa agar Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Perlis dapat menyelaras serta menyalurkan bantuan dengan segera kepada mangsa yang terlibat bagi membantu meringankan beban yang mereka tanggungi,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Ribut selaju 68.7 km/j semalam telah meragut sekurang-kurangnya 4 nyawa serta menyebabkan sejumlah 56 buah rumah rosak teruk menurut sumber JPBN Perlis.

Selain itu, bencana berkenaan turut mengakibatkan beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik selama beberapa jam sepanjang malam tadi.