Home Berita PAS Melaka

Rezeki murah bila dekatkan diri dengan rumah Allah – Menteri Agama

390
SHARE

 

Oleh SITI SALWANI MOHD KASSIM

KOTA MELAKA, 16 Sept: Untuk murah rezeki ada dua jalan iaitu takwa dan tawakal berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud ‘Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.’

“Justeru itu saya nak mengingatkan diri saya dan semua, kita kena ingat rumah Allah,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya di majlis Penyerahan Bantuan Program Inspirasi Qaseh Kami – YAPIEM Negeri Melaka di Masjid Al-Wahhab, Permatang Duyong, di sini, pagi tadi.

Bercakap di hadapan kira-kira 50 orang yang terdiri dari penerima dan wakil penerima, Ustaz Idris menambah bahawa orang-orang yang jinak dengan surau dan masjid ini adalah orang yang Allah murahkan rezekinya sementara rumah Allah pula adalah merupakan lubuk rezeki yang Allah turunkan.

“Yang memberi kepada tuan-tuan pada hari ini bukan saya, bukan YAPIEM, semua itu kerja Allah yang membuka pintu hati saya dan pintu hati YAPEIM untuk sampai di kampung tuan-tuan. Segala rezeki adalah daripada Allah Taala.

“Kerana Allah bersama-sama dengan orang-orang yang soleh, orang yang baik sebagaimana Allah Taala sebut barangsiapa yang bertakwa, yang baik, tak tinggal solat.

“Tak menyakiti hati jirannya, baik akhlaknya, yang bertanggungjawab kepada isteri, isteri pula yang taat pada suami, orang yang menjaga aurat dan kehormatannya.

“Insya-Allah, (orang-orang ini) tidak akan miskin, kerana Allah buka pintu hati orang-orang yang hadir ke masjid untuk bersedekah kepada mereka,” tambahnya lagi.

Menerusi bantuan Inspirasi Prihatin dan sinar Kasih ini, Ustaz Idris berharap wang tunai yang diterima akan dibelanjakan supaya aktiviti perniagaan akan hidup seterusnya merangsang kitaran ekonomi negara.

Beliau juga menyeru institusi masjid dan surau supaya mengeluarkan wang dan membelanjakan untuk membantu orang-orang yang susah di sekitarnya.

“Nabi mengingatkan bahawa tidak beriman seseorang apabila dia tidur dalam keadaan perut yang kenyang sedangkan jirannya dalam kelaparan,” sambungnya.

Majlis didahului dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Dato’ Mohd Redza Shah Abd Wahid.

Turut hadir adalah Penasihat Agama kepada YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, Mufti Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Abd Halim Tawil, Ketua Pengarah YAPEIM, Mohd Ridzal Mohd Sheriff, Ahli Lembaga Pengarah Pusat Falak Al-Khawarizmi, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Pengerusi Masjid Al-Wahhab, Ramlan Madirono.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.