Home Artikel PAS Sarawak

‘Retreat’ DMPN Sarawak: Sasar Sebagai Wadah Pilihan Wanita Sarawak

220 views
SHARE

Bintulu, 11 Jun 2017 – Bengkel Perancangan Strategik Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) telah berlangsung dengan jayanya pada 9 – 10 Jun 2017 di Bintulu, Sarawak.

Seramai 35 orang pimpinan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan pendidikan telah menghadiri program selama dua hari satu malam yang bertujuan untuk merangka strategi jangka masa panjang dan hala tuju DMPNS sesi ini.

“Pembinaan pelan strategik bertujuan untuk merangka gerak kerja jamaah supaya lebih efisyen dan tersusun. Jika organisasi yang biasa perlu kepada perancangan, apatah lagi bagi kita jamaah Islam yang bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini,

Visi dan misi yang dirangka mesti menggambarkan hala tuju kita utk 5 tahun akan datang dan kita mesti berusaha utk merealisasikannya dan memberi faham kepada semua ahli di Sarawak utk mencapai visi misi berkenaan,” ujar Ustazah Juliani Adin, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) di dalam ucapan pembukaannya.

Beliau turut menyatakan hasrat supaya seluruh kepimpinan DMPNS berusaha keras untuk menempatkan diri di dalam masyarakat untuk membawa mesej Sejahtera Bersama Islam.

“Sebagai ahli Jemaah yang mengharapkan bantuan daripada Allah SWT, kita wajib bertaqwa kepada Nya. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah pasti akan ditunjukkan jalan keluar dan rezeki akan datang dari arah yang tidak disangka-sangka,” ucap Ustazah Juwairiyah binti Haji Matdin selaku Timbalan Ketua Muslimat DMPNS semasa pengisian slot usrah qiyadi di malam program tersebut.

Program ini telah membuktikan semangat juang yang tinggi para pimpinan DMPNS yang hadir dari seluruh Sarawak untuk berkumpul dan berbincang sewaktu umat Islam yang lain berpuasa di bulan Ramadhan.

 

 

{jathumbnail off}