Home Melaka

Rencana | Umno – antara ubat tahan sakit dan ubat penyembuh

473
SHARE

Oleh IBNU JANIE

TOKOH Umno yang dikagumi ramai Khairy Jamaluddin akhirnya dipecat keahliannya dalam parti itu. Beberapa tokoh lain pula digantung keahlian selama enam tahun dalam satu Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.

Sebelum itu pula Perhimpunan Agung Umno 2022 yang berlangsung pada pertengahan Januari membuat keputusan agar dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan Umno yang akan datang.

Sebagaimana yang kita semua tahu Umno dilihat berada di penghujung jalan setelah mengalami kekalahan teruk dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut iaitu pada PRU-14 dan PRU-15.



 

Walaupun semua tahu bahawa kekalahan ini adalah berpunca daripada imej pemimpin Umno yang tepu dengan rasuah dan masalah integriti, namun Umno terus menyalahkan perkara-perkara lain.

Ramai tokoh-tokoh pimpinan Umno dituduh melakukan sabotaj terhadap parti sehingga menyebabkan kekalahannya. Alasan inilah yang menjadi sebab utama pembuangan besar-besaran pemimpin Umno tadi.

Umno-BN sedikitpun tidak mahu bermuhasabah tentang kelemahan sebenar mereka yang menyebabkan mereka ditolak walaupun mereka sendiri tahu tentang perkara itu tetapi mereka buat-buat tidak tahu.

Demi untuk memastikan kelangsungan Umno-BN di saat-saat kritikal ini, sebahagian para pemimpin dan ahli Umno melihat bahawa sekiranya berlaku pertandingan jawatan tertinggi parti, ia boleh menjurus kepada perpecahan dan menghuru-harakan parti. Lalu mereka berfikir bahawa Zahid perlu dikekalkan bagi menjamin keutuhan parti.

Sebahagian para pemimpin dan ahli Umno yang lain pula berpendapat bahawa Umno perlu melakukan perubahan dengan menggantikan pemimpin-pemimpin yang bermasalah dan tercalar dari sudut integriti dan terpalit kes rasuah. Dengan ini Umno akan kembali diterima oleh rakyat semula.

Sebenarnya pandangan bahawa dengan melakukan pembersihan terhadap pemimpin-pemimpin yang mahu melawan Presiden sedia ada bagi mengelakkan perpecahan dalam parti adalah umpama menelan ubat tahan sakit yang memang akan menghilangkan sakit seketika, namun ia tidak akan menyembuhkan.



 

Sebaliknya pandangan bahawa Umno perlu menukar kepimpinannya yang terpalit dengan isu rasuah dan menggantikan dengan pemimpin yang dilihat lebih bersih sebenarnya umpama ubat yang pahit tetapi akan memberikan kesembuhan yang sebenar.

Namun begitu, apa yang sedang berlaku sekarang ialah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Zahid sebenarnya akan menghancurkan Umno yang sedang berpaut pada sisa-sisa kuasa yang masih ada pada mereka.

Zahid pun tahu bahawa dia adalah liabiliti kepada Umno. Memang secara logiknya Zahid perlu meletak jawatan sebagai Presiden Umno atas prestasi Umno pada PRU15 yang jauh lebih buruk daripada PRU14.

Dia boleh berjiwa besar seperti Najib untuk melepaskan jawatan Presiden dan bersara secara terhormat. Namun dia tidak mungkin sewenang-wenangnya melepaskan jawatannya kerana dia sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah. Penjara menanti jika dia disabitkan kesalahan.

Sekiranya dia masih menjadi Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri memberi dia sedikit ruang dan peluang untuk ‘menyelamatkan’ dirinya dari kes mahkamah yang sedang dihadapi. Jika tidak maka dia akan lebih mudah untuk ‘ke penjara’.

Para pemimpin dan ahli-ahli Umno yang lain juga faham tentang perkara ini. Tapi mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa. Sebagai menteri kabinet, Zahid memegang agihan kuasa dan peruntukan kerajaan yang boleh dinikmati mereka.

Kita semua tahu bahawa agihan kuasa dan peruntukan kerajaan adalah umpama bekalan ‘oksigen’ kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno. Kerana itu mereka mempertahankan Zahid bermati-matian.

Sebenarnya, sekiranya mereka mengadakan pertandingan dan Khairy memenangi jawatan Presiden pun Umno-BN masih kekal berkuasa bersama PH kerana Khairy telah menjamin perkara ini. Malah, jika ini berlaku imej Umno akan lebih baik lagi di mata pengundi atas pagar dan boleh memperbaiki kedudukannya dalam politik negara.

Tetapi tidak ada ahli Umno yang berani mengambil risiko membuat perubahan ini. Iyalah, kalau mereka berjaya senang cerita. Sebaliknya jika kalah bermakna mereka akan terbuang. Itu risikonya.

Kesilapan dilakukan oleh ahli-ahli dan pemimpin Umno ini akan menyebabkan penyakit Umno semakin membarah dan semakin kritikal. Sampai masanya nanti Umno akan tiba-tiba rebah dan mati mengejut kerana tidak tertanggung lagi dengan sakit yang hanya diberi ubat tahan sakit, bukannya ubat untuk menyembuhkan.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 6 Februari 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH