Home Berita PAS Pahang

Muslimat Pahang berbengkel sihat kerana Allah

150
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 6 Feb :: Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Pahang berbengkel serentak di beberapa tempat untuk meningkatkan kesedaran serta kecaknaan kesihatan di kalangan ahli dan masyarakat anjuran Skuad Sihat DMP Negeri Pahang.

Bengkel serentak diadakan di tiga lokasi iaitu di Pusat Tarbiyah Balok (PUTRA) Kuantan, Madrasah Al Husna Pekan, dan Balai Islam Darul Amin Gau, Temerloh kelmarin.

Pengarah program Dr. Asyikin Hashim berkata, program ini bertujuan mendidik dan membimbing peserta mengenai kepentingan penjagaan dan peningkatan taraf kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dalam usaha mencapai matlamat ‘Sihat dan Kerana Allah’.

Tambah beliau, Islam menyarankan umatnya sentiasa menjaga tubuh badan serta mengamalkan cara hidup yang sihat sebagai satu amanah dan dapat melaksanakan setiap ibadat dengan baik.

Antara aktiviti dalam bengkel tersebut adalah melatih muslimat untuk pemeriksaan BMI (body mass index), pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan paras glukosa darah.

Beliau seterusnya mengharapkan muslimat yang hadir program ini dapat mempratikkan ilmu yang telah dipelajari sebagai penambahbaikan aktiviti ziarah yang dilakukan.

Di akhir program sesi simulasi Sejahtera Bersama Skuad Sihat (SERASI) dan Ziarah Skuad Sihat (ZASS) diadakan di lokasi masing-masing.

Terdahulu, telah diadakan sesi teori yang membicarakan topik ‘Penyakit Kronik, Ada Apa Dengannya’ melalui platform Google Meet bersama Pakar Perunding Perubatan Penyakit Dalaman Dr. Nurfa Ahmad dari Hospital UIA Kuantan.

Sesi Google Meet itu telah dihadiri seramai 80 orang peserta, manakala sesi bengkel secara fizikal seramai 66 orang di tiga lokasi berkenaan.