Home Melaka

Rencana | Tragedi halang azan : perlu tindakan tegas, bukan ‘cover up’.

656
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini kecoh isu larangan penggunaan pembesar suara luar bagi laungan azan di Surau Saidina Umar, di Kondominium Tri Pinnacle, Tanjong Tokong, Pulau Pinang. Ia menjadi perhatian umat Islam seluruh negara setelah sebuah video berkaitan perkara ini tular di media sosial.

Video tersebut dikatakan berkaitan satu mesyuarat penduduk dengan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium tersebut. Video tersebut memaparkan kemarahan penduduk beragama Islam di situ dipercayai kerana pihak pengurusan melarang penggunaan pembesar suara luar untuk azan.

Akibat kekecohan yang timbul, pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pejabat Mufti negeri itu masuk campur bagi meredakan keadaan.


https://youtu.be/FqCi6ImWh6M


 

Dan sekarang ini pihak berkuasa beriya-iya menuding jari kepada individu yang dikatakan mula-mula menularkan video itu, seorang TikToker bernama Mohd Sophian Mohd Zain, seolah-olah sebagai pihak yang paling bersalah dalam isu ini.

Semua kita tahu bahawa siapa sahaja umat Islam (tidak pasti pula pendirian umat Islam penyokong PH) pasti akan marah jika masjid atau surau mereka dilarang daripada melaungkan azan menggunakan pembesar suara luar.

Penyelesaian kepada peristiwa-peristiwa seperti ini bukan sekadar dengan menghalang video atau maklumat kejadian daripada tersebar ke pengetahuan orang ramai sahaja.

Penyelesaiannya harus pergi ke puncanya iaitu tidak seharusnya ada golongan samada bukan Islam atau yang Islam sekali pun daripada mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan menghalang ritual ibadah umat Islam seperti azan dengan pembesar suara luar seperti ini.

Dalam satu laporan oleh Malaysiakini, Yang Dipertua MAINPP, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyifatkan penularan video itu sebagai ‘amat mengelirukan, tidak menampakkan kejujuran dan dikeluarkan dengan niat yang amat tidak baik walau apa tujuannya’. Beliau turut menafikan pihak pengurusan kondominium melarang penggunaan pembesar suara atau azan.

Yang menariknya Sophian turut hadir dalam sidang media itu dan berulang kali menuntut agar pihak MAINPP yang hadir pada sidang media itu menyatakan dalam bahagian mana dalam video yang beliau tularkan yang mengandungi fitnah atau info tidak benar berkaitan dengan isu itu.

Dalam laporan oleh Berita Harian berkaitan sidang media yang sama pula menyebut bahawa Pengerusi JMB kondominium ini, Alex Low, memohon maaf kepada penduduk dan umat Islam mengenai isu ini.

Dalam laporan media itu Alex berkata bahawa tidak benar beliau melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara luar. Tetapi beliau cuma mencadangkan supaya pembesar suara diletakkan di dalam surau serta kelantangan pembesar suara laungan azan direndahkan, selain mencadangkan laungan azan dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp!

Eh, apa benda ni??! Macam mana pihak berkuasa boleh menerima kenyataan ‘hanky panky’ yang membodohkan orang ramai seperti ini? Apa bezanya antara melarang azan dilaungkan dengan pembesar suara luar berbanding dengan meminta pembesar suara untuk azan diletakkan di dalam surau? Kalau tidak salah mengapa beriya-iya meminta maaf?

Apa yang ada dalam pemikiran umat Islam ialah mengapa kerap kali apabila hal berkaitan Islam disentuh secara tidak wajar oleh seorang bukan Islam maka perkara itu akan disenyapkan. Selepas memohon maaf tiada tindakan diambil.

Kita semua tidak mahu wujud ketegangan kaum di negara kita dan kita mahu semua hidup aman damai. Tetapi cara penyelesaian seperti ini hanya akan mewujudkan luka tersembunyi dan akhirnya akan menjadi barah yang merosakkan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara kita.

Kalau tidak mahu perkara seperti ini berulang bukan dengan memastikan video-video seperti ini tidak ditularkan, tetapi dengan cara memastikan tidak ada lagi pihak-pihak yang berani mencabar aktiviti ibadah orang Islam seperti yang berlaku ini.

Kita mahu satu penguatkuasaan yang menggerunkan pihak-pihak seperti ini. Bukan dengan ‘cover up’ kononnya untuk mengelakkan suasana menjadi keruh dan mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Jangan pula kita menambahburukkan keadaan dengan menonjolkan tentang kemarahan umat Islam sahaja sebagai punca ketegangan agama dan kaum. Kena tengok punca mengapa umat Islam marah. Itu yang harus diselesaikan.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak Edisi Isnin Jumaat bertarikh 22-25 Mei 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH